Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM. Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.
Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.
Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.
2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.
3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.
4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.
5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.
6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.
7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).
8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.
9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.
Jadi, kali ini saya akan memaparkan petikan Syair Singapura Terbakar untuk dijadikan latihan.ahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa.
Bahagian C
6. Alih bentuk bahasa syair di bawah kepada bentuk prosa biasa.
Syair Singapura Terbakar
Serta terpandang api menjulang,
Rasa arwahku bagaikan hilang,
Dijilatnya rumah serta barang-barang,
Seperti anak ayam disambar helang.
Seberang-menyeberang rumah habis rata,
Apinya cemerlang tak dapat buka mata,
Bunyi gempar terlalu gempita,
Lemahlah tulang sendi anggota.
Pakaianku menyalahi seperti kertas,
Limau manis pun meletup seperti petas,
Orang menolong pun terlalu pantas,
Merebut barang-barang terlalu lekas.
Ringgitpun hancur seperti timah,
Habis meleleh ke bawah rumah,
Tiadalah tentu barang yang dijamah,
Pencuri pun mengangkut sama termengah-mengah.
Barang yang hendak kubawa pulang,
Beberapa pinggan mangkuk,
cawan dan dulang,
Sekaliannya itu habislah pulang,
Harapnya hatiku bukan kepalang.
Abdullah Munsyi
Puisi Melayu Klasik,
1996
Oscar Book International.
Selepas membuat latihan dengan mengalih teks syair tersebut, bincangkanlah jawapannya dengan rakan-rakan anda. Anda perlu mendapatkan komen dan pandangan daripada guru dan rakan-rakan anda sendiri untuk membaiki kesilapan yang telah dilakukan. Dengan cara tersebut, diharapkan jawapan soalan Alih Teks anda akan menjadi lebih mantap dan mendapat markah yang tinggi dalam peperiksaan nanti.
Litihan diperoleh daripada Cikgu Mohd Khir Kassim
boleh tak Pak anas berikan jawapan yang lengkap untuk syair di atas. emel sy nurlydiana_sahran@yahoo.com
ReplyDelete