Saturday, May 9, 2009

Contoh Karangan Jenis Wawancara

Andaikan anda seorang pemberita. Anda ditugaskan mewawancara seorang pegawai polis di sebuah bandar di tempat anda bertugas. Wawancara itu membincangkan peranan pihak polis dalam mencegah masalah jenayah. Sediakan wawancara itu dengan lengkap.

Masalah jenayah sering dikaitkan dengan tugas dan peranan polis. Dalam membenteras masalah tersebut, polislah yang bertanggungjawab memastikan setiap individu dan masyarakat terselamat daripada ancaman tersebut. Untuk mengetahui peranan pihak polis ini, saya selaku pemberita ditugaskan mewawancara Penguasa Yusuf Majid, seorang pegawai polis di bandar ini. Kita ikuti wawancara tersebut.

Pemberita :Selamat pagi, tuan. Apa khabar?

Pegawai Polis :Selamat pagi. Khabar baik.

Pemberita:Terlebih dahulu saya ucapkan terima kasih kepada tuan kerana sudi meluangkan masa untuk diwawancara. Pertamanya, polis dan undang-undang sering diibaratkan sebagai aur dengan tebing. Kedua-duanya begitu rapat dan sering berjalan seiring. Apakah pandangan tuan tentang perkara ini?

Pegawai Polis:Ya, pasukan polis merupakan penguat kuasa undang-undang yang tama. Ini bererti tanpa polis, undang-undang yang ada tidak bermakna kerana undang-undang tersebut tidak dapat dikuatkuasakan. Sebaliknya, tentulah sukar untuk pihak polis menjalankan tugas jika sesebuah negara tiada undang-undang. Jika tiada undang-undang yang berkaitan dengan jenayah, tentulah tugas polis untuk membenteras jenayah tidak kesampaian. Jadi polis dan undang-undang mempunyai kaitan yang begitu rapat.

Pemberita:Bolehkah tuan huraikan dengan lebih jelas, bagaimanakah undang-undang boleh digunakan oleh polis untuk memerangi jenayah di negara kita?

Pegawai Polis:Sesuai dengan peranan polis sebagai penguat kuasa, maka undang-undang yang berhubung dengan jenayah menjadi panduan dan sering digunakan oleh pihak polis. Antaranya termasuklah Kanun Keseksaan dan Kanun Atur Cara Jenayah. Antara jenayah yang dikaitkan dengan Kanun Keseksaan adalah mencuri, merompak, merogol, mencederakan orang, penipuan, dan sebagainya. Kanun Atur Cara Jenayah pula telah memberikan kuasa kepada polis untuk menangkap atau seumpamanya terhadap penjenayah yang melakukan jenayah-jenayah tadi.
Pemberita:Cuba tuan jelaskan tentang kewibawaan pasukan polis dalam menangani masalah jenayah.

Pegawai Polis:Kewibawaan dan prestasi pasukan polis sebenarnya bergantung kepada cara mereka melaksanakan dan menguatkuasakan undang-undang. Untuk itu, pihak polis mesti menjalankan tugasnya dengan adil dan saksama. Jika terdapat sesuatu kesalahan jenayah, pihak polis akan bertindak tanpa mengira pangkat atau kedudukan seseorang. Pihak polis juga mesti berani untuk memerangi jenayah. Oleh sebab itu, kita dapati banyak penjenayah menjadi mangsa keberanian dan kewibawaan pihak polis. Kadang kala anggota polis terpaksa berkorban apa sahaja demi menjaga keamanan negara. Mereka terpaksa mengorbankan masa, cuti, keluarga dan nyawa apabila bertugas.

Pemberita:Tugas sebagai anggota polis tentu menghadapi pelbagai cabaran atau risiko yang membahayakan keselamatan polis itu sendiri. Cuba tuan berikan pandangan?

Pegawai Polis:Ya, sebagai anggota polis, kami memang mengetahui adanya pelbagai implikasi dan risiko di hadapan. Misalnya, jika berlaku kes rompakan, pihak polis mungkin terpaksa berbalas tembakan dengan perompak. Jika bukan perompak, mungkin pihak polis yang menjadi mangsa. Ada kalanya penjenayah ini tidak takut berdepan dengan pihak polis. Oleh sebab itulah mereka berani melawan anggota polis kita. Selain itu, pihak polis juga kadang-kadang menghadapi cabaran masyarakat. Kami sering kali juga menimbulkan rasa takut dan prejudis orang ramai. Oleh sebab itu, kerjasama masyarakat sukar diperoleh untuk mengatasi kes-kes jenayah.

Pemberita:Sebelum kita mengakhiri wawancara ini, apakah harapan tuan terhadap masyarakat atau orang ramai untuk mengatasi masalah jenayah?

Pegawai polis:Kita memerlukan kerjasama orang ramai. Tanpa kerjasama dan komitmen orang ramai tentulah sukar untuk kita membenteras masalah jenayah. Mereka harus melaporkan kepada pihak kami jika berlaku sesuatu kejadian jenayah dan mereka juga tidak harus melindungi seseorang penjenayah. Berilah kerjasama, penghormatan, dan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak polis demi keselamatan dan keamanan negara.

Pemberita:Saya juga berharap penjelasan tuan akan menjadi renungan kepada masyarakat kita. Terima kasih sekali lagi saya ucapkan atas kesudian tuan.
Pegawai Polis : Sama-sama.



15 comments:

  1. terima kasih saya sebagai seorang pelajar mrsm tingkatan 1 telah tahu akan cara menulis karangan jenis wawancara

    ReplyDelete
  2. Thanks! saya dah tahu da ~ ngeee ~ >:D

    ReplyDelete
  3. Thank you! Haha pusing sana pusing sini, akhirnya dapat jugak ape y saye nak kat sini. Makseh banyak :)

    ReplyDelete
  4. wuuu berzaman carik karangan macam nehh akhirnye jumpe jugak mekaseh u all <3

    ReplyDelete
  5. Terima Kasih. Bolehlah anak saya menggunapakai contoh ini.

    ReplyDelete
  6. thanks jmpe dh cth tuk.. assignment kolej .. hehe

    ReplyDelete