Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan ceritanya semula.
1. Cerpen Annyss Sophillea
Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi takhta kerajaan itu.Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.Akhirnya Annyss Sophillea dan Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh tanduk eustary.Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa sahabat mereka dari bumi itu.Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada perwatakan Daneng dan Cikgu Jo serta latar tempat dan latar masyarakatnya.
2. Cerpen Lambaian Malar Hijau
Ringkasan Cerita
Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.Cikgu Jo menasihati Daneng agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Beliau telah dianugerahi gelaran ”Datuk” atas segala usahanya. Cikgu Jo berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. ”Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada gaya bahasa, perwatakan watak utama dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.
3. Virus Zel Untuk Abah
Ringkasan Cerita
Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan mengalami tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.Di samping itu kawan Zel, iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya, Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.Dendam Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya, Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit hati.Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan pada perwatakan watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.
Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/2009/08/ulang-kaji-komponen-sastera-komsas-spm
No comments:
Post a Comment