Soalan:
Bagaimanakah ayat yang di bawah ini?
Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.
Adakah menyalahi rumus transformasi?
Drp:Cikgu NNA
Jawaban:
Ayat "Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang." salah kerana ayat itu tidak lengkap dari subjek dan predikatnya.Untuk mengetahui ayat asalnya, sila gunakan teknik transformasi.
1. Saya mendoakan (apa) semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Aktif)
2. (apa) didoakan oleh saya semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Ayat Pasif Diri Pertama yang tidak gramatis)
3. Mereka mendoakan (apa) semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Aktif)
4. (apa) didoakan oleh mereka semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Ayat Pasif Diri ketiga yang tidak gramatis)
Dengan berdasarkan proses transformasi di atas, terbukti bahawa ayat "Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang." tidak tepat.Ayat yang membawa maksud seperti yang ingin disampaikan, kemungkinannya adalah seperti yang berikut:
Contoh:
1.Saya mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda. (aktif)
2. Kejayaan yang cemerlang untuk anda saya doakan. (pasif)
Cuba lihat ayat di atas tadi: Apakah ayat aktifnya? Sudah tentu tiada. Hal ini demikian kerana ayat tersebut tiada subjek.
Didoakan (Predikat Frasa Kerja)
Semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Klausa keterangan harapan) (Klausa ini boleh digugurkan)
Jika klausa keterangan harapan tersebut boleh digugurkan, bahagian yang tinggal ialah ”Didoakan”. Adakah frasa ”didoakan” itu merupakan ayat yang lengkap?
Oleh hal yang demikian, ayat tersebut tidak gramatis.
Ayat yang betul ialah:
3. Saya/kami/mereka berdoa agar anda berjaya dengan cemerlang. atau
4. Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.
5. Kami mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.
Drp:Cikgu Ghalib
No comments:
Post a Comment