Oleh sebab banyak pelajar yang mengemukakan pertanyaan tentang topik atau isu-isu penting yang berkaitan dengan soalan karangan SPM tahun ini, elok sekiranya saya paparkan isu-isu tersebut kali ini. Isu-isu tersebut dirasakan penting kerana belum pernah disoal dalam peperiksaan SPM sebelum ini. Selain itu, isu-isu tersebut juga terdapat dalam buku teks Tingkatan 4 dan Tingkatan 5. Walau bagaimanapun, isu-isu tersebut dijangkakan sahaja akan disoal dan tidak semestinya akan disoal dalam peperiksaan SPM nanti. Jadi, selain isu yang dikemukakan ini, pelajar-pelajar juga perlu menumpukan perhatian kepada isu-isu yang lain. Hal ini demikian kerana, ada juga soalan yang dijangka disoal tetapi tidak disoal dalam peperiksaan dan begitu juga sebaliknya soalan yang tidak disangka-sangka akan disoal tetapi disoal dalam peperiksaan
Isu-isu yang dirasakan penting untuk diberikan perhatian pada tahun ini telah disesuaikan dalam bentuk soalan contoh karangan SPM.
1. Warisan Bangsa
Soalan contoh:
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.
2. Dunia Semakin Canggih
Soalan contoh:
Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi-implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.
3. Pelaburan
Soalan contoh:
Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.
4. Kenaikan Harga Barang
Soalan contoh:
Masalah kenaikan harga barang yang berpunca daripada kenaikan harga petrol telah memberikan banyak kesan kepada para pengguna di negara kita.
Jelaskan kesan-kesan dan langkah-langkah yang perlu diambil untuk menangani masalah itu.
Saya ingin mengingatkan pelajar bahawa soalan-soalan contoh di atas cuma sebagai soalan panduan untuk membuat latihan penulisan karangan. Pelajar-pelajar boleh membina soalan sendiri dengan bimbingan guru masing-masing. Di samping itu, pelajar perlu berlatih untuk menulis karangan itu sendiri dan bukannya meminta karangan contoh atau menyalin karangan yang sudah siap sedia ditulis oleh orang lain. Janganlah mengharapkan karangan daripada orang lain sahaja. Pelajar perlu menulis karangan itu sendiri kerana pelajar yang cemerlang karangannya ialah pelajar yang bayak membuat latihan menulis karangan. Pelajar juga dinasihatkan untuk bertanya kepada guru bagi mendapatkan komen, pandangan dan bimbingan.
Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim
No comments:
Post a Comment