Sejajar dengan ledakan globalisasi yang sedang mewarnai dunia ini, roda pembangunan dan kemajuan bergerak begitu pantas di negara kita. Malangnya dan sedihnya, masih ada lakaran suram yang terpahat dalam tamadun dan peradaban masyarakat kita. Gejala rasuah yang saban hari dipaparkan di dada akhbar dan kaca televisyen bagai barah dalam masyarakat yang memang akan meranapkan keutuhan bangsa dan peradaban tamadun manusia. Persoalannya, apakah itu rasuah? Adakah gejala rasuah boleh membantutkan pembangunan dan kemajuan negara kita yang kita kecapi sekarang?
Rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah dirinya sendiri. Bank dunia mendefinisikan rasuah sebagai ‘menyalahgunakan kuasa pejabat am untuk kepentingan sendiri’, sementara Ketelusan Antarabangsa (Transparency International) mendefinisikannya sebagai ‘menyalahgunakan kuasa yang dipertanggungjawabkan untuk kepentingan diri sendiri’. Secara amnya rasuah bermakna kuasa yang telah diberikan kepadanya disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri dan bersikap pilih kasih dalam tindakannya. Mengikut Transparency International , pada tahun 2003, Malaysia menduduki tempat ke-37 dari segi tahap amalan rasuah- satu kedudukan yang kurang selesa sedangkan negara kita sedang melaksanakan modus operandi untuk merealisasikan Wawasan 2020 sebagai status sebuah negara maju yang mampu bersaing di seantero antarabangsa. Kita harus ingat bahawa gejala rasuah memang seperti api dalam sekam yang akan membantutkan wawasan generasi masa hadapan negara dan sekaligus meruntuhkan tamadun bangsa kita.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, amalan rasuah mahupun di peringkat rendah ataupun di peringkat tinggi dalam pembangunan negara, boleh membawa kepincangan dalam sistem sosial, ekonomi dan politik sesebuah masyarakat dan negara. Mengikut Datuk Shafee Yahaya, Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, penyalahgunaan rasuah dalam kalangan pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan melibatkan jumlah setinggi RM80 juta. Rasuah walaupun melibatkan jumlah yang kecil tetap merupakan pengkhianatan terhadap amanah dan juga harapan negara dan masyarakat. Apatah lagi jikalau hal ini sudah melibatkan jumlah wang yang begitu banyak sehingga boleh meranapkan keutuhan bangsa dan meruntuhkan sistem dan budaya pentadbiran negara. Pemimpin politik dan pegawai kanan kerajaan yang sanggup menerima rasuah ini memang menepati pepatah ‘harapkan pagar, pagar makan padi’ dan senario yang dipaparkan ini bagaimana menimbulkan kepercayaan dalam masyarakat? Lama-kelamaan apabila kepercayaan masyarakat hilang, kerajaan akan menghadapi masalah dalam mengembalikan kepercayaan tersebut kerana integriti penjawat awamnya sentiasa dicurigai. Segala dasar dan program yang dilaksanakan oleh kerajaan akan cundang malah memperlahankan dan membantutkan pertumbuhan ekonomi negara.
Selain menghilangkan kepercayaan masyarakat terhadap kerajaan, rasuah juga merupakan gejala sosial yang akan menghalang pencapaian, pembangunan dan pertumbuhan ekonomi,sosial dan politik sesebuah negara. “Rasuah merupakan penghadang utama perkembangan dan pertumbuhan ekonomi sedang membangun mahupun ekonomi dalam peralihan, dan fenomena serta puncanya ialah institusi birokratik, sosial dan politik sesebuah masyarakat,” kata Dr.Mohd Yaakub Haji Johari, Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pembangunan (Sabah), IDS. Dalam konteks ini, perbincangan ekonomi rasuah ini termasuklah kesan rasuah ke atas pelaburan negara. Rasuah cenderung mengakibatkan pengurangan dalam pelaburan domestic dan pelaburan asing langsung. Jika negara kita telah dilabelkan sebagai negara rasuah, para pelabur asing akan kehilangan kepercayaan kepada negara kita dan kemungkinan menarik pelaburan mereka dari negara kita kerana khuatir wang akan diseleweng atau keuntungan berkurangan. Selain itu, dalam keadaaan sesebuah ekonomi negara yang mengahadapi urus tadbir yang teruk serta tahap rasuah yang kronik, kos pelaburannya selalunya meningkat. Akibatnya pelaburan akan berkurangan dan imej negara kita di persada antarabangsa akan terjejas.
Di samping itu, rasuah juga kerap mengakibatkan herotan dalam perbelanjaan dan pelaburan awam serta kemerosotan kualiti infrastruktur fizikal. Rasuah mengakibatkan perbelanjaan awam melebihi daripada yang diperlukan. Para pegawai tinggi kerajaan yang tidak jujur memanipulasikan keadaan dan meminggirkan pembangunan luar bandar. Golongan yang paling teruk dijejas oleh amalan rasuah ini ialah golongan minoriti, miskin dan terpinggir, “lebih-lebih lagi apabila bantuan yang patut disalurkan kepada mereka dikebas oleh segelintir pihak berkepentingan,” kata Dr Denis Osborne, seorang pakar pengurusan awan dan etika. Matlamat kerajaan untuk membangunkan kawasan luar bandar seperti yang disasarkan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) seolah-olah menemui jalan buntu sekiranya gejala rasuah ini tetap melonjak secara liar dan ganas! Akibat sesetengah pihak yang sanggup mengkhianati amanah dan kepercayaan untuk menerima rasuah, golongan minoriti ini tidak dapat menikmati kemudahan dan infrastruktur yang berkualiti dan akan sentiasa dibelenggu dalam kemiskinan serta tertinggal dalam arus perdana pembangunan negara.
Tidak ketinggalan juga, sesetengah ahli politik juga menggunakan kesempatan untuk berbakti kepada masyarakat dengan menerima dan memberi rasuah untuk mendapatkan kuasa memenangi pemilihan jawatan dalam politik, mengumpul kekayaan, menagih populariti dan sebagainya. Rasuah yang berlaku antara ahli politik ini juga mengundang musibah kepada pembangunan negara. Kemajuan negara kita bergantung pada kewibawaaan pemimpin. Kegiatan rasuah yang berlaku akan menghakis kepercayaan orang awam terhadap ahli politik negara kita sekiranya gejala sosial yang kian menjadi parah ini tidak dibanteras dari akar umbinya. Selain itu tidak hairanlah pemerintahan dan pentadbiran negara kita menjadi lemah kerana setiap kali rasuah berlaku, maka pemerintah kehilangan hasil atau tergelincir daripada tindakan-tindakan yang sepatutnya. Umpamanya jika cukai terhadap sesuatu barang yang telah ditentukan, maka pemberi rasuah telah menggantikan wang cukai yang sepatutnya dikutip dan manfaatnya hanya dinikmati oleh segelintir pemberi rasuah. Pentadbiran sesebuah negara menjadi kucar-kacir sehingga menghancurkan pencapaian dan pertumbuhan ekonomi, sosial dan politik negara seperti yang berlaku di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos daripada tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak terbendung.
Gejala rasuah juga mengakibatkan kesalahan mengagihkan kemahiran dan bakat termasuklah masalah guna tenaga tidak penuh beberapa golongan kemahiran yang penting dalam sesuatu masyarakat. Melalui rasuah seseorang diberikan jawatan kanan atau tugasan yang lumayan di samping menyekat peluang yang sama kepada individu lain yang lebih berkebolehan dan berkelayakan. Akibatnya hasil kerja yang diperoleh selalunya lebih inferior jika dibandingkan hasil kerja yang dilakukan oleh individu yang lebih cekap dan berkebolehan. Rentetan itu individu yang lebih berbakat dan berpengetahuan hanya dipendamkan akibat persaingan yang tidak adil ini. Apalah yang lebih menyedihkan ialah individu tersebut mungkin mampu menyumbang tenaga dan mendominasi arus perdana pembangunan negara tetapi telah ditinggalkan kerana menghadapi persaingan yang tidak adil akibat amalan rasuah yang keji ini. Jangan kita lupa, pembangunan negara kita memang bergantung pada pakar professional dan cerdik pandai ini. Amalan rasuah yang berleluasa ini memang seperti berludah ke langit menimpa batang hidung sendiri kerana akhirnya roda pembangunan negara kita akan berhenti bergerak dan mengakibatkan rakyat hidup dalam keadaan susah.
Di samping itu, kesan yang dibawa oleh rasuah bukan sahaja terikat dalam pembangunan fizikal negara, malah membawa kesan yang lebih memburukkan kepada pembangunan rohani dan mental seluruh masyarakat dan negara. Masyarakat yang mengamalkan rasuah tidak mempunyai kejujuran dan keikhlasan dalam tindak-tanduk mereka. Sikap prasangka, prejudis dan benci-membenci akan menular serta merosakkan keamanan dan keharmonian masyarakat. Amalan rasuah ini hanya menguntungkan pihak yang menerima faedah dan golongan yang memberi akan berasa teraniaya. Ketidakadilan sosial ini akan menjejaskan integrasi nasional yang diimpikan oleh pucuk pemimpin kita serta menggagalkan usaha kerajaan untuk mencorakkan kedaulatan negara tercinta ini dengan mengukuhkan lagi ikatan perpaduan antara kaum. Adakah keadaan sosial masyarakat ini menguntungkan atau memajukan pembangunan negara? Jawapannya ‘tidak’ . Sebaliknya pemimpin negara kita terpaksa menanggung tanggungjawab yang lebih membebankan untuk memulihkan masyarakat yang aman, harmoni dan damai serta membanteras amalan rasuah dalam kalangan anggota masyarakat.
Di samping itu, individu yang terlibat dalam jenayah rasuah akan dikenakan hukuman dan tindakan undang-undang melalui Akta Pencegahan Rasuah 1997. individu yang didakwa dan terbukti kesalahannya boleh dipenjara, didenda atau diisytiharkan muflis. Selain hukuman penjara yang mengaibkan diri dan keluarga, trauma emosi dan psikologi yang dilalui oleh pesalah dan keluarganya juga sangat tinggi. Anggota keluarga yang tidak bersalah juga akan merasai kesan akibat perbuatan buruk ini kerana segala hak milik mereka dikaitkan dengan hasil haram wang rasuah. Individu dan anggota keluarga menghadapi trauma yang meninggalkan kesan berpanjangan dan mendalam. Impak ini menjadi lebih serius sekiranya pesalah merupakan seorang yang memegang jawatan dalam organisasi sosial, ekonomi dan politik. Jika seorang pemimpin terbukti bersalah, rakyat akan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka yang seterusnya mengancam penbangunan dan pencapaian dalam pelbagai bidang.
Tegasnya, amalan rasuah berpunca daripada perasaan tamak haloba yang terdapat dalam kalangan manusia. Rasuah sering dijadikan sebagai salah satu jalan pintas seseorang untuk mengecapi kehidupan mewah atau dengan erti kata lain mahu menjadi kaya dalam masa singkat. Mereka tidak memikirkan kesan buruk yang bakal menimpa diri, keluarga, bangsa atau negara. Mengikut satu kajian dengan mengawal rasuah, sesebuah negara yang korup mampu menarik sejumlah pelaburan asing yang sama tanpa memberikan pelepasan cukai yang lumayan hanya dengan mengawal amalan rasuah. Satu peluang yang begitu menguntungkan kepada pembangunan sekiranya negara kita berjaya membanteras rasuah. Oleh itu, amalan rasuah, perbuatan yang meracuni sifat-sifat bersih, cekap dan amanah dan berteraskan jiwa murni, harus diperangi sehabis-habisannya.
“Kemelut rasuah merupakan satu peperangan yang mesti diteruskan dan BPR ( Badan Pencegah Rasuah) tidak berduduk berdiam diri,” kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Badawi selepas melancarkan persidangan pelaburan Invest Malaysia 2005 di Kuala Lumpur. Jelas melihat iltizam Perdana Menteri kita dari hari pertama beliau mengambil alih tampuk kerajaan negara adalah untuk mencegah dan seterusnya membasmi amalan rasuah di negara ini. Rasuah boleh membantutkan pembangunan negara, menjejasjan kehidupan rakyat jelata dan menjejaskan imej negara merupakan hakikat dan kenyataan yang tidak dapat dinafikan. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita yakin dengan komitmen sehati sejiwa dan sebulat suara, mekanisme yang kukuh dapat difikirkan dan usaha yang padu lagi berterusan dapat dilaksanakan seberkesannya untuk memerangi gejala rasuah. Dengan ini, barulah negara kita dapat membangun menuju ke arah menzahirkan Wawasan 2020 yang diidam-idamkan dan seterusnya menjayakan agenda negara agar negara kita mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersaing sama hebat dan bertanding sama kuat di mata dunia. Semangat ‘ Malaysia Boleh!’ yang menjadikan intipati pembentukan bangsa Malaysia terus berkobar-kobar dan laungan ini akan terus menyinarkan, mengharumkan dan memartabatkan nama Malaysia.
Ditulis oleh : Jurulatih Utama Bahasa Melayu, JPNJ
No comments:
Post a Comment