Tuesday, September 1, 2009

Rumusan Karangan STPM

Kekeliruan tentang Rumusan Karangan STPM

Bagi murid-murid Tingkatan 6 Bawah atau Prauniversiti Bawah, soalan rumusan mungkin masih mengelirukan mereka. Hal ini demikian kerana, murid-murid masih terpengaruh oleh soalan Rumusan SPM. Mereka lebih cenderung untuk mencari isi tersurat dan tersirat. Oleh itu, murid-murid perlulah membiasakan diri dengan soalan Rumusan STPM dan menyesuaikan format soalan Rumusan Karangan STPM.
Murid-murid hendaklah melupakan soalan Rumusan SPM dan memberikan fokus atau tumpuan terhadap Rumusan Karangan STPM. Dalam soalan Rumusan STPM, murid-murid perlu mencari Isi Utama, Isi Sokongan, dan Kesimpulan. Dalam soalan Rumusan SPM. murid-murid sudah diberikan fokus isi tersurat dan tersiratnya. Murid-murid juga perlu menulis pendahuluannya di samping kesimpulan yang perlu difikirkan sendiri oleh pelajar.
Bagi soalan Rumusan Karangan STPM pula, murid-murid tidak perlu memikirkan isi-isi tersiratnya. Semua isi, iaitu sama ada Isi Utama, Isi Sokongan atau Kesimpulan perlu dicari dan diambil daripada petikan yang disediakan. Perkara penting yang perlu diberikan penekanan oleh murid-murid ialah mencari Isi Utama yang tidak dinyatakan dalam soalan. Isi Utama mestilah dicari daripada perenggan pertama petikan.Selain itu, Isi Utama itu juga perlu penerangan dan penjelasan ringkas berdasarkan huraian dalam petikan.
Isi Sokongan pula perlu dicari dan diambil daripada perenggan-perenggan lain dalam petikan tersebut. Setiap Isi Sokongan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas. Kebiasaannya, terdapat 5 hingga 6 Isi Sokongan daripada setiap petikan Rumusan Karangan. Isi Sokongan merupakan isi-isi lain yang menyokong Isi Utama.
Setelah mendapat 5 atau 6 Isi Sokongan, murid-murid perlu mencari Isi Kesimpulannya pula yang terdapat dalam perenggan akhir petikan. Isi Kesimpulan juga memerlukan huraian atau penerangan ringkas yang perlu diambil daripada petikan.
Perbandingan antara Rumusan Karangan STPM dengan Rumusan SPM
1. STPM - Tiada fokus soalan
SPM - Ada fokus soalan
2. STPM - Tiada isi tersirat – semua isi ada dalam petikan
SPM - Ada isi tersirat
3. STPM - Ada isi Utama
SPM - Ada pendahuluan
4. STPM - Ada isi Sokongan
SPM - Ada isi tersurat dan tersirat
5. STPM - Ada isi Kesimpulan
SPM - Ada kesimpulan
6. STPM - Setiap isi perlu dihuraikan
SPM - Isi perlu ringkas dan padat
7. STPM - Jumlah perkataan 180 – 190 perkataan
SPM - Jumlah perkataan tidak melebihi 120 perkataan
8. STPM - Perlu ditulis dalam 3 perenggan
SPM - Tiada format khusus tentang perenggan
Daripada blog Cikgu Mohd Khir Kassim

Ulang kaji Komponen Sastera (Sajak) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 5 sajak lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan sajak-sajak tersebut semasa mengulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan maksud kelima-lima sajak tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan maksudnya semula.

1. Sajak Derita Pertama

Maksud sajak
Rangkap 1:
Adam terdampar ke dunia sebagai akibat melanggar perintah Allah yang melarangnya makan buah khuldi.
Rangkap 2:
Adam terlantar di tempat baru pada waktu tengah malam. Adam tidak mengerti suasana di tempat baru itu.
Rangkap 3:
Adam berasa cemas berada dalam keadaan yang gelap gelita.
Rangkap 4:
Sepanjang malam Adam bingung dan sedih menghadapi keadaan itu seorang diri.
Rangkap 5:
Sepanjang malam itu Adam hanya menangis sambil merenung bulan di angkasa.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah nilai kemanusiaan dan pengajaran.

2. Sajak Anak Laut

Maksud sajak
Rangkap 1:
Nelayan tua terkenang akan koleknya di laut. Dengan kolek itulah dia mencari rezeki di laut.

Rangkap 2:
Kolek usang dan nelayan tua mempunyai persamaan, iaitu saat kemusnahan dan kematian semakin hampir.

Bentuk sajak
Bentuknya bebas.
Terdiri daripada dua rangkap

Bilangan baris dalam rangkap tidak sama;
rangkap pertama ada sembilan baris;
rangkap kedua ada lima baris.

Panjang pendek barisnya tidak sama;
paling pendek ada satu perkataan dan yang paling panjang ada 5 perkataan.

Suku kata dalam baris juga tidak sama;
antara satu suku kata hingga tiga belas suku kata.

Rima akhirnya bebas/tidak sama

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.

3. Sajak Jalan-jalan Raya Kotaku

Maksud Sajak

Rangkap 1:
Sepanjang perjalanan di kota, kesesakan jalan raya menguji kesabaran para penggunanya.

Rangkap 2:
Kebanyakan pengguna jalan raya hilang sabar.
Ada juga pengguna jalan raya yang sombong dan bertindak mengikut perasaan.
Keadaan sebegitu menyebabkan perjalanan terasa amat membosankan.

Rangkap 3:

Tiada sopan santun di jalan raya.
Para pengguna jalan raya menonjolkan kelebihan dan kekuatan sehingga hilang sifat sopan santun.
Demikianlah sifat warga kota pada masa kini.

Rangkap 4:
Jalan raya menjadi tempat manusia melakukan keganasan.
Tiada lagi nilai murni dalam diri manusia pada akhir zaman ini.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah tema, nilai-nilai kemanusiaan dan pengajaran.

4. Sajak Duhai Pentafsir

Maksud sajak
Penyajak mencari pentafsir atau pembimbing yang dapat memimpinnya ke jalan kebenaran.Dalam usia tua, penyajak menyedari segala kesilapannya, tetapi dia belum menemui petunjuk atau hidayah.Oleh sebab itu, kehidupannya penuh dengan keresahan.Dia melakukan kesilapan kerana tidak mendapat pendidikan agama yang cukup sejak kecil.Penyajak sedar akan keadaan dirinya yang semakin tua dan kekuatan fizikalnya yang semakin berkurang.Keadaan itu menyukarkannya untuk mendalami ilmu agama.Selama ini penyajak terpengaruh oleh pelbagai gejala negatif tetapi kini dia telah sedar dan ingin mendampingi Tuhan.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, bentuk dan nilai kemanusiaan.

5. Sajak Di Ruang Gemanya

Maksud Sajak
Penyajak menumpukan seluruh taat setianya kepada negara dan senantiasa berharap agar negaranya akan mencapai kejayaan dan kegemilangan.
Demi rasa setianya itu, dia sanggup menghadapi sebarang rintangan tanpa mengenal rasa kecewa atau derita.
Penyajak juga menganggap dugaan yang dihadapi adalah sebagai adat kehidupan dan dia sanggup berkongsi pengalamannya dengan orang lain untuk menghadapi pelbagai bentuk cabaran hidup.

Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah bentuk, persoalan dan pengajaran.

Dipetik daripada :
Cikgu Mohd Khir Kassim

PENULISAN BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN 11

Contoh Pendahuluan Jenis Peribahasa
Soalan:
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
’Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh. Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan ini.
Contoh Pendahuluan Jenis Iklan
Soalan:
Iklan merupakan alat yang digunakan oleh pengeluar barangan untuk memperkenalkan barangan atau perkhidmatan baru di pasaran. Iklan juga digunakan untuk melariskan jualan sesuatu barangan. Melalui iklan, pihak pengeluar berharap pengguna dapat dipengaruhi untuk membeli sesuatu barangan.
Berikan pendapat anda tentang sejauh mana iklan mengelirukan pengguna.
Pesona membangkitkan tarikan
Tarikan menyerlahkan personaliti
Personaliti menampilkan keanggunan
Keanggunan ialah kuasa.
Kata-kata indah ini merupakan bahasa iklan yang dikeluarkan oleh Syarikat Celcom untuk mempromosikan barangan keluarannya. Bahasa indahnya begitu mempesonakan pembaca, malah lebih jauh lagi amat berkuasa untuk mempengaruhi para pengguna agar menggunakan barangan yang diiklankan. Bagaimanapun, tidak semua kata-kata yang indah itu menggambarkan keadaan sebenar barangan yang diklankan. Jika kenyataan ini benar, maka gambaran itu menepati kata-kata ‘indah khabar daripada rupa’.
Sumbangan : Encik Nor Hashim Bin Bahrin,
Ketua Bidang Bahasa,
SMK Dato' Jaafar, Johor Bahru.
Jurulatih Utama Bahasa Melayu
Jabatan Pelajaran Negeri Johor
PENULISAN BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN 1 & 11
Dipetik daripada blog Cikgu Abd Razak Bin Hassan

PENULISAN BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN 1

PENDAHULUAN

Karangan ialah sejenis gerak kerja yang penting dalam bidang penulisan dan diuji pada peringkat Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia menerusi mata pelajaran Bahasa Melayu kertas 1 (kod kertas: 1103/1). Mengarang ialah satu kemahiran yang perlu dipelajari serta dilatih kerana kemahiran ini penting dimiliki oleh setiap pelajar. Karangan terhasil daripada kebijaksanaan dan keterampilan menggubah atau menyusun kata-kata untuk dijadikan rangkai kata dan seterusnya untuk dijadikan ayat. Aktiviti mengarang memerlukan kemahiran menyampaikan idea, fakta dan yang seumpamanya yang terdapat dalam pemikiran manusia melalui alat komunikasi yang dinamakan bahasa.
Mengarang merupakan suatu kemahiran yang perlu dikuasai melalui proses penulisan yang juga memerlukan seseorang itu berlatih menyusun serta mengilah buah fikiran dan idea agar terjalin dengan kemas, lancar, dan berkesinambungan. Kemahiran ini amat berkait rapat dengan kemahiran mendengar, bertutur dan membaca. Mengarang juga merupakan suatu proses yang bersistem dan berterusan. Beberapa tahap mesti dilalui sebelum sesuatu hasil penulisan dihasilkan. Mengarang juga bukan sahaja merupakan kebolehan semulajadi, bahkan perlu dipelajari dan perlu ada latihan yang sistematik sifatnya.
ASAS-ASAS MENGARANG YANG DIPERLUKAN
1. Menganalisis soalan
1.1. Pilih tajuk yang benar-benar anda fahami yang bersesuaian dengan pengetahuan dan pemahaman anda tentangnya. Anda mestilah benar-benar memahami pilihan itu dari segi format atau bentuk, isi dan laras bahasanya.
1.2. Carilah kunci utama sesuatu soalan yang biasanya terletak pada perkataan tertentu.
1.3. Kunci utama pada soalan yang biasa digunakan ialah bincangkan, sejauhmanakah, berikan pendapat, tulislah gambaran, gambarkan keadaan, dan lain-lain lagi.
1.4. Sesudah memahami kunci utama soalan, pastikan anda memahami jumlah elemen yang terkandung dalam soalan itu. Kadang-kadang terdapat dua elemen atau perkara yang perlu ditulis dalam sesebuah karangan.
2. Merangka karangan.
2.1. Rangka karangan ialah garis kasar bagi menulis karangan yang sebenar.
2.2. Rangka karangan seharusnya mengandungi:
(a) pendahuluan
(b) isi-isi /idea
(c) penutup/kesimpulan
2.3. Rangka karangan hendaklah ringkas.
2.4. Anda boleh menulis dalam bentuk ‘point’ atau peta minda.
3. Menulis pendahuluan.
3.1. Tujuan utama bahagian ini adalah untuk menarik minat dan tumpuan pembaca terhadap tema penulisan.
4. Mengembangkan idea:
4.1. Karangan yang baik mestilah dapat dikembangkan ideanya dengan sempurna.
5. Penutup/kesimpulan.
5.1. Kesimpulan merupakan tempat bagi penulis untuk merumuskan semua isi yang telah dikemukakan.
5.2 Pada bahagian ini, penulis boleh memberikan sedikit cadangan
5.3. Bahagian ini perlu ditulis dalam satu perenggan sahaja.
BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN
Bahagian ini memperkenalkan secara tersurat atau tersirat akan isu atau persoalan yang menjadi judul penulisan. Bahagian ini hendaklah dipersembahkan dengan gaya yang menarik dan bertenaga .
Antara bentuk pendahuluan yang dicadangkan:
(a) definisi
(b) persoalan
(c) pantun
(d) seni kata lagu
(e) sajak
(f) syair
(g) cerita
(h) kata-kata hikmat
(i) dialog
(j) ucapan/kata-kata pembesar/orang ternama
(k) statistik
(l) berita akhbar
(m) sejarah
(n) suasana
(o) peribahasa
Contoh Pendahuluan Jenis Definisi
Soalan:
Amalan membaca seharusnya bermula di rumah.Anda bersetuju dengan pendapat di atas.Huraikan pendapat anda itu.
Membaca sering didefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Di samping itu, membaca juga meliputi pengucapan apa-apa yang tertulis atau tercetak pada buku, papan tanda, dan lain-lain lagi secara lisan, sama ada dengan kuat atau sebaliknya. Di Malaysia, membaca belum lagi dianggap menjadi amalan dalam kehidupan sebahagian besar rakyat negara ini. Bagi golongan pelajar, membaca hanya menjadi rutin bagi tujuan mentelaah, manakala bagi golongan yang sudah melepasi dunia pelajar, mereka hanya membaca bahan bacaan ringan, bukan bahan ilmiah yang menambahkan ilmu. Justeru, membaca wajar dijadikan amalan dan perlu dibentuk sejak kecil kerana “kalau hendak melentur buluh, biarlah dari rebungnya”. Sesuai dengan peribahasa tersebut, maka amalan membaca seharusnya bermula di rumah.
Contoh Pendahuluan Jenis Pantun
Soalan:
Anda telah dipilih mewakili kelas dalam pertandingan menulis esei sempena Minggu Keusahawanan yang dianjurkan oleh Persatuan Ekonomi sekolah anda. Tajuk esei yang ditetapkan ialah “Faedah Berjimat Cermat”.
Tulis esei anda itu selengkapnya.
Tikar pucuk tikar mengkuang,
Alas nikah raja Melayu;
Ikan busuk jangan dibuang,
Buat perencah si daun kayu.
Pantun warisan di atas mengingatkan kita supaya tidak membuang ikan yang sudah busuk. Sebaliknya, suri rumah yang kreatif seharusnya memanfaatkan ikan busuk itu untuk dijadikan hidangan yang istimewa. Dengan sentuhan yang bijak, ditambah pula dengan pelbagai ramuan termasuk ulam-ulaman, ikan busuk itu akan menjadi makanan yang enak untuk dinikmati. Demikian, maksud secara literal pantun empat kerat di atas. Secara tersiratnya, pantun tersebut mengingatkan kita agar sentiasa berjimat-cermat dalam kehidupan amnya, dan perbelanjaan seharian khususnya. Tambahan pula, agama Islam sendiri melarang umatnya bersikap boros lantaran pemboros ialah sahabat syaitan.
Contoh pendahuluan jenis seni kata lagu
Soalan:
Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.
Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.
Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang
Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?
Contoh Pendahuluan Jenis Cerita
Soalan:
Bencana alam seperti gempa bumi, banjir lumpur dan tsunami telah melanda beberapa buah negara sejak belakangan ini. Mala petaka ini memerlukan kerjasama sejagat bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.
Tulis sebuah rencana mengenai peranan Malaysia dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana tersebut.
Mbah Maridjan. Lelaki yang berusia 79 tahun ini amat dikenali namanya di Kanahreja Dusun Palemsari Kabupatin Sleman, Jawa Tengah. Beliau mengaku sebagai pemegang kunci Gunung Merapi yang akan memuntahkan lahar merahnya bila-bila masa sahaja. Beliau yang tinggal tiga kilometer dari kawah lahar yang sedang mendidih itu mengaku mendapat perintah daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX yang melantiknya sebagai juru kunci gunung itu beberapa waktu yang silam. Pengaruh Mbah Maridjan sangat kuat dalam kalangan penduduk di desanya sehingga beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan berganjak dari kawasan itu walaupun dipaksa. Persoalannya, apakah yang akan terjadi kepada seluruh penduduk di kawasan itu apabila Gunung Merapi itu memuntahkan lahar merahnya? Apakah pula peranan negara ini dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana alam seperti itu, di samping bencana yang lain seumpama tsunami, banjir lumpur dan taufan?
Contoh pendahuluan jenis kata-kata pembesar
Soalan:
Amalan membaca harus dipupuk dalam kalangan rakyat negara ini sejak mereka kecil lagi, seperti kata peribahasa ’melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Hal ini bertepatan dengan hasrat kerajaan yang bertujuan untuk melahirkan masyarakat berilmu yang maju dan berdaya saing.
Bincangkan usaha-usaha untuk memupuk minat membaca dalam kalangan rakyat negara ini.
”Setiap seorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing.” Demikian Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu sesungguhnya membawa maksud bahawa harga seseorang dalam pasaran pekerjaan akan bertambah andai individu itu berusaha mendapatkan keterampilan yang lain untuk dirinya. Selain melalui proses pembelajaran secara formal, nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca. Cerdik pandai sering menganggap membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membacalah yang dapat menghubungkan antara manusia dengan segala ilmu dan pengetahuan. Oleh hal yang demikian, pelbagai usaha perlu dilaksanakan bagi memupuk amalan membaca dalam kalangan rakyat negara ini.
Contoh Pendahuluan Jenis Statistik
Soalan:
Kadar kemalangan jalan raya di negara dianggap antara yang tertinggi di dunia. Setiap hari, ada sahaja berita tentang kemalangan jalan raya yang disiarkan menerusi media massa.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.
Pada hari pertama Ops Sikap XII 2007 dilaporkan bahawa 921 kemalangana telah berlaku di negara ini. Jumlah tersebut meliputi 24 kemalangan maut yang membawa kepada 25 kematian. Ketua Polis Negara yang melaporkan data ini menyatakan rasa tidak puas hati beliau akan situasi tersebut. Hal ini kerana kebanyakan kemalangan berlaku disebabkan kecuaian pengguna jalan raya yang kurang mementingkan keselamatan. Para pengguna dianggap tidak menghargai diri sehingga sanggup menggadai nyawa semata-mata kerana berhasrat untuk tiba di destinasi masing-masing dengan cepat. Oleh hal yang demikian, usaha-usaha yang lebih mapan wajar dilaksanakan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.
Contoh Pendahuluan Jenis Berita Akhbar
Soalan:
Sistem pengangkutan di negara ini telah mengalami perubahan yang amat ketara. Berbanding dengan dua puluh tahun yang lalu, kini pelbagai jenis sistem pengangkutan moden telah disediakan bagi kemudahan para pengguna.
Berikan pendapat anda tentang sistem pengangkutan moden di negara ini.
‘Kerajaan galak mohon permit teksi eksekutif’. Demikian tajuk berita yang terpapar di muka 11 akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 17 Jun 2007 yang lalu. Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi selepas beliau merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Berjasa Negeri Sembilan Berhad kali ke-9 di Seremban. Teksi eksekutif merupakan sistem pengangkutan awam yang menggunakan teksi yang lebih besar dan selesa, tetapi tambangnya lebih tinggi berbanding dengan teksi bajet. Penggunaan teksi eksekutif dicadangkan apabila usia kenderaan sedia ada mencapai tempoh tujuh tahun. Selain teksi eksekutif, terdapat beberapa jenis sistem pengangkutan moden di negara ini, termasuklah monorel, keretapi LRT dan lain-lain lagi.

Soalan Percubaan BM 11 SPM SBP 2009


Soalan Percubaan SPM SBP 2009