Tuesday, September 1, 2009

PENULISAN BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN 11

Contoh Pendahuluan Jenis Peribahasa
Soalan:
Peribahasa ”jiran sepakat membawa berkat” sangat tepat digunakan sebelum ini oleh masyarakat di kawasan luar bandar dalam tradisi bermasyarakat. Bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar pula, budaya ini semakin pupus sekiranya tiada usaha untuk terus memupuknya.
Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat.
’Jiran sepakat membawa berkat’. Ungkapan indah ini mengandungi maksud yang amat mendalam. Hidup bermasyarakat pada era globalisasi ini sering meletakkan konsep kejiranan bukan di sisi paling utama. Senario ini menyebabkan kedapatan jiran yang tidak mengetahui bahawa tetangga mereka sedang mengalami masalah, malah musibah sekalipun. Ada antara mereka yang kehairanan serta terkejut apabila dimaklumkan bahawa jiran sebelah rumah sudah berulat setelah menjadi mangsa pembunuhan oleh penjenayah. Seandainya hidup sesama jiran mengamalkan konsep pemuafakan, sudah barang pasti pelbagai faedah diperoleh. Hal ini tentu menggenapi maksud peribahasa yang terungkap di awal perenggan ini.
Contoh Pendahuluan Jenis Iklan
Soalan:
Iklan merupakan alat yang digunakan oleh pengeluar barangan untuk memperkenalkan barangan atau perkhidmatan baru di pasaran. Iklan juga digunakan untuk melariskan jualan sesuatu barangan. Melalui iklan, pihak pengeluar berharap pengguna dapat dipengaruhi untuk membeli sesuatu barangan.
Berikan pendapat anda tentang sejauh mana iklan mengelirukan pengguna.
Pesona membangkitkan tarikan
Tarikan menyerlahkan personaliti
Personaliti menampilkan keanggunan
Keanggunan ialah kuasa.
Kata-kata indah ini merupakan bahasa iklan yang dikeluarkan oleh Syarikat Celcom untuk mempromosikan barangan keluarannya. Bahasa indahnya begitu mempesonakan pembaca, malah lebih jauh lagi amat berkuasa untuk mempengaruhi para pengguna agar menggunakan barangan yang diiklankan. Bagaimanapun, tidak semua kata-kata yang indah itu menggambarkan keadaan sebenar barangan yang diklankan. Jika kenyataan ini benar, maka gambaran itu menepati kata-kata ‘indah khabar daripada rupa’.
Sumbangan : Encik Nor Hashim Bin Bahrin,
Ketua Bidang Bahasa,
SMK Dato' Jaafar, Johor Bahru.
Jurulatih Utama Bahasa Melayu
Jabatan Pelajaran Negeri Johor
PENULISAN BAHAGIAN PENDAHULUAN KARANGAN 1 & 11
Dipetik daripada blog Cikgu Abd Razak Bin Hassan

No comments:

Post a Comment