Wednesday, May 6, 2009

STRATEGI MERUMUS KARANGAN

BAHASA MELAYU
SIJIL PELAJARAN MALAYSIA
KOD 1103/2
KERTAS 2
SOALAN 1: Rumusan
(30 markah)
STRATEGI MERUMUS KARANGAN
PETIKAN 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.
Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni.
Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.
Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,Utusan Malaysia, Jun 2003)
A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT
STRATEGI 1:
Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
- Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
(masa dicadangkan 2 minit)
- Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman.
(masa dicadangkan 5 minit)
STRATEGI 2:
Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan
perkataan-perkataan tersebut.
• Fokus 1 = Isi tersurat
• Fokus 2 = Isi tersirat
Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan fokus untuk isi tersirat.
CONTOH 1
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang
faedah-faedah hidup berjiran [ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk
semangat kejiranan. [ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak
melebihi 120 patah perkataan.
STRATEGI 3:
Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitufaedah-faedah hidup berjiran.
Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam (menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni). [ISI 1]
Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersuratuntuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara. (Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan manfaat yang besar kepada kita) [ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.
Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersuratuntuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.
(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah) [ISI 5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat, penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung) [ISI 6] jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran.
Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.
Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai. (Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran). [ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama mereka). [ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.
Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1. Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.
Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara) [ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.
STRATEGI 4:
Senaraikan Fokus 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah perkataannya.
Isi-isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran
- Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]
- Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
- Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada
kita. [ 11 ]
Atau
- Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
- Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
- Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan
kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
- Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
- Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat
setempat. [ 9 ]
- Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
- Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan
perkongsian pintar sesama mereka. [ 11 ]
- Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5:
Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.
PERINGATAN:
- Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu
memasukkan kesemua isi kerana jumlah perkataan yang agak terhad.
Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65 patah
perkataan.
- Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama
perenggan isi tersurat.
CONTOH:
Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran.
[ 46 patah perkataan ]
B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT
STRATEGI:
- Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam
petikan yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara
memupuk semangat kejiranan.
- Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan
isi tersurat dan Fokus 2 dalam arahan soalan.
- Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi
tersirat.
- Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan
isi tersirat.


STRATEGI 1:
Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara
memupuk semangat kejiranan.
CONTOH :
- Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia
memberi pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]
- Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin
atau ambil berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan
kejiranan / bertegur sapa / saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]
- Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.
- Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat.
- Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun
tetangga / persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]
- Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan
- Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak
sombong / berbaik sangka dengan jiran .
STRATEGI 2:
Membina perenggan isi tersirat.
CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT
Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.
[ 23 patah perkataan ]
C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN
STRATEGI :
- Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.
- Kenal pasti Fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan Fokus 1 itulah
penfahuluan rumusan karangan dapat kita hasilkan.
- Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu
menjadi ayat anda sendiri.
- Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
- Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan /
membicarakan …….
CONTOH PENDAHULUAN:
Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran
Pendahuluan:
Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.
atau
Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam masyarakat
D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN
- Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.
- Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
- Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut
berserta kesan atau akibat cadangan / harapan tersebut.
- Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan
atau akibat cadangan dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya,
demi’.
- Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan
bahawa ayat tersebut merupakan ayat kesimpulan.
- Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …
CONTOH KESIMPULAN:
Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang
sejahtera dapat diwujudkan

Atau

Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam
masyarakat dengan berkesan agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat
diwujudkan.


CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP
Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.
Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu memupuk semangat kejiranan.
Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
[ 100 patah perkataan]
Contoh Karangan : Gambar Tunggal

Lihat gambar di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda berdasarkan gambar tersebut. Panjang huraian anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.

PENCEMARAN

Contoh Jawapan


Pencemaran alam sekitar sudah menjadi lumrah di negara-negara maju. Pencemaran seolah-olah tidak dapat dielakkan jika terdapat sebarang aktiviti pembangunan di sesuatu tempat. Pencemaran boleh diklasifikasikan kepada beberapa beberapa keadaan seperti pencemaran udara, iklim, tanah dan air.

Pencemaran boleh memudaratkan kesihatan manusia. Pencemaran udara menyebabkan manusia bernafas dalam udara yang tidak bersih dan terdedah kepada penyakit berbahaya seperti asma. Pencemaran iklim pula mengakibatkan penipisan lapisan ozon di atmosfera dan mewujudkan kesan rumah kaca. Penipisan lapisan ozon menyebabkan cahaya ultra ungu matahari yang berbahaya kepada kulit manusia menembusi atmosfera. Kesan rumah kaca pula mengakibatkan suhu bumi meningkat sehingga boleh mencairkan ketulan air batu di kutub utara atau selatan. Akibatnya paras air laut akan meningkat.

Pencemaran juga boleh mengakibatkan hakisan dan tanah runtuh. Pencemaran tanah disebabkan oleh aktiviti pembalakan, pertanian dan juga pembinaan. Kawasan yang mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk terkena hakisan dan tanah runtuh ialah di kawasan tanah tinggi. Kejadian tanah runtuh amat berbahaya kerana boleh mengakibatkan kehilangan nyawa dan juga harta benda. Oleh itu, adalah kurang selamat bagi manusia membina rumah kediaman berhampiran dengan tanah tinggi.

Sumber air juga adalah sangat penting kepada kehidupan harian manusia. Manusia memerlukan air sebagai sumber minuman dan juga sumber protien. Sumber air yang tercemar menyebabkan air tersebut beracun dan tidak selamat diminum. Lebih malang lagi manusia kehilangan sumber protien kerana hidupan air seperti ikan akan mati. Keadaan ini mungkin disebabkan oleh aktiviti pembuangan sisa kumbahan, sisa toksik dan minyak kenderaan ke dalam parit, sungai atau laut.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap manusia untuk memastikan keadaan pencemaran alam sekitar berada pada tahap yang minimum. Adalah malang jika kita menunggu sehingga keadaan menjadi parah ibarat telur di hujung tanduk baru kita hendak berusaha mengawalnya. Keadaan menjadi tidak berguna sekiranya nasi telah menjadi bubur.

Panduan Menulis Karangan

Menulis Karangan

a. Karangan yang ditulis mestilah berasaskan tema bahan rangsangan yang
diberikan.
b. Bahan rangsangan boleh terdiri daripada gambar tunggal, gambar bersiri, iklan,
graf, carta, poster dan sebagainya.
c. Karangan yang ditulis mesti mempunyai pengenalan atau pendahuluan.
Bahagian ini amat penting kerana mencerminkan isi yang ditulis seterusnya.
d. Pendahuluan mesti membincangkan tema bahan rangsangan secara khusus
dan mesti ditulis ringkas, padat serta ditulis dalam satu perenggan (anggaran
20 patah perkataan).
e. Pelajar perlu menyatakan 3 isi yang relevan dengan tema dan mesti diolah
dengan baik.
f. Isi mesti berkaitan antara satu perenggan dengan perenggan yang lain
(anggaran 70 patah perkataan setiap satu isi).
g. Isi mesti disusun mengikut kepentingan dan disusun rapi.
h. Kesimpulan mestilah ditulis dalam satu perenggan (anggaran 20 patah
perkataan). Ia mestilah ringkas, padat dan dapat merumus tema yang
dibincangkan.

Ciri-ciri Karangan Yang Baik

a. Tema bahan rangsangan dihuraikan dengan baik dan jelas.
b. Isi yang ditulis mestilah berkaitan dengan tema dan sebaik-baiknya isi
tersirat.
c. Perenggan mesti kemas dan sesuai.
d. Satu perenggan, satu isi dengan huraian isi serta contoh.
e. Perenggan dan isi mesti berkaitan dengan yang sebelumnya.
f. Susunan ayat mesti lengkap dan mudah difahami.
g. Penggunaan bahasa mesti dipelbagaikan.
h. Gunakan peribahasa, cogan kata atau ungkapan yang menarik.
i. Gunakan penanda wacana yang sesuai.
j. Isi diolah dengan baik untuk menunjukkan kematangan.
k. Mesti mengelakkan penggunaan bahasa pasar.
l. Tulisan mesti jelas dan mudah dibaca.


Kriteria Pembahagian Markah

a. Kefahaman dan kebolehan pelajar memahami tema bahan rangsangan yang
diberikan sama ada relevan atau tidak.
b. Keupayaan pelajar mengemukakan sekurang-kurangnya 3 isi dan setiap isi
haruslah disertakan dengan huraian lanjut dan contoh yang sesuai.
c. Setiap isi, fakta dan contoh yang dikemukakan harus juga sesuai dengan
keadaan semasa dan mempunyai kematangan fikiran.
d. Aspek bahasa pelajar pula akan dinilai dari segi penulisan yang lancar dan
kemas, tiada kesalahan tatabahasa yang berat, perenggan yang betul dan
kemas, menggunakan tanda bacaan dan huruf besar yang tepat.


Aspek-aspek Yang Dinilai

a. Karangan menepati tema bahan rangsangan.
b. Pengolahan isi, gaya bahasa, penyampaian isi dan kematangan isi
dikembangkan.
c. Ejaan dan struktur ayat.
d. Isi yang ditulis sama ada yang tersurat atau tersirat.
e. Peribahasa, cogan kata atau ungkapan menarik yang digunakan.
f. Pendahuluan atau pengenalan.
g. Penutup atau kesimpulan karangan.
h. Tulisan yang jelas.
i. Pemerengganan.
j. Kesantunan bahasa.


Kelemahan Calon

a. Pengenalan tidak menarik.
b. Isi tidak menepati tema.
c. Isi tidak dihuraikan.
d. Huraian yang tidak bertepatan dengan isi pokok.
e. Perenggan tidak disusun dengan sempurna.
f. Banyak kesalahan ejaan.
g. Tulisan buruk sehingga sukar dibaca.
h. Bahasa yang berbelit-belit dan ayat terlalu panjang.
i. Penggunaan perbendaharaan kata yang terhad.
j. Isi yang diulang-ulang.
k. Hanya menghuraikan isi tersurat sahaja.
l. Kesalahan tatabahasa seperti sendi nama di, dari dan daripada

NILAI BERTIMBANG RASA DALAM NOVEL

Salah satu nilai yang dikemukakan oleh pengarang dalam sesebuah novel ialah nilai bertimbang rasa.
Berdasarkan sebuah novel yang anda pelajari, huraikan tiga peristiwa yang menunjukkan amalan nilai
bertimbang rasa.


Perlumbaan Kedua

Peristiwa : Bertimbang rasa menawarkan bantuan.
Huraian : Sang Gajah yang kasihan melihat Tuk Kura lambat bergerak kerana usianya lanjut menawarkan bantuan kepada Tuk Kura untuk menjinjiingnya ke puncak bukit semasa meninjau kawasan perlumbaan kedua.

Peristiwa : Bertimbang rasa dengan memberi cadangan.
Huraian : Tuk Kura dan anak-anak buahnya dalam perjalanan menuju ke padang rumput . Dalam perjalanan itu, Sang Gajah mencadangkan Tuk Kura dan anak-anak buahnya berhenti rehat kerana simpati melihat kesusahan dan keletihan Tuk Kura dan anak-anak buahnya. 25
Peristiwa : Bertimbang rasa dengan menawarkan bantuan menyampaikan pesanan.
Huraian : Sang Murai terserempak dengan Tuk Kura yang dalam perjalanan untuk menghimpunkan suku-sakatnya lalu Sang Murai menawarkan bantuan menyampaikan pesanan kerana Sang Murai berasa simpati terhadap Tuk Kura sedangkan Sang Murai boleh terbang lebih cepat dan dapat menyampaikan pesanan Tuk Kura dengan segera.

Peristiwa : Bertimbang rasa dengan memberi pandangan
Huraian : Sang Murai bertemu dengan Sang Kancil yang mencari Tuk Kura untuk menyampaikan cabaran Sang Arnab Putih.Sang Murai sangat kasihan melihat Sang Kancil yang keletihan dalam usahanya menjejak Tuk Kura lalu mencadangkan Sang Kancil mencari Tuk Kura di kawasan paya.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks
Labels: alih bentuk teks, bahasa malaysia, bahasa melayu, stpm, tingkatan 6
Sumber : Blog Cikgu Khir Kassim
Bagi calon-calon STPM, soalan Alih Teks ini menawarkan pilihan, iaitu sama ada Soalan 6 atau Soalan 7. Anda perlu memilih satu soalan sahaja, iaitu setelah membuat keputusan tentang teks yang anda rasakan dapat dijawab dengan baik. Walaupun jumlah markah bagi soalan ini cuma 15 markah, tetapi calon-calon perlu memberikan perhatian juga terhadap soalan ini kerana soalan ini berupaya untuk meningkatkan markah anda untuk Kertas 2. Jadi, janganlah anda membuat tanggapan bahawa soalan ini tidak penting, sebaliknya anda perlulah membuat latihan yang sistematik dan berterusan berdasarkan jenis teks yang telah dipilih dan pernah digunakan dalam peperiksaan STPM.

Selain itu, anda juga perlu mencuba jenis-jenis teks yang lain sekiranya ada dan belum pernah ditanya dan digunakan dalam peperiksaan STPM sebelum ini. Oleh itu, berbincanglah dengan rakan-rakan dan guru anda tentang jenis-jenis teks tersebut. Jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam soalan STPM sebelum ini ialah teks iklan, undang-undang, prosa klasik, sajak, dialog drama dan cerpen.

Selepas meneliti jenis-jenis teks yang pernah digunakan dalam STPM itu, saya mendapati teks puisi tradisional tidak pernah digunakan lagi. Oleh itu, calon-calon STPM tahun ini perlulah memberikan perhatian yang lebih terhadap jenis teks puisi tradisional ini. Puisi tradisional ini pula terbahagi kepada beberapa jenis, seperti pantun, syair, gurindam, dan seloka.

Panduan umum untuk menjawab soalan Alih Teks adalah seperti yang berikut:
1. Baca teks asal itu sepintas lalu dan fahami maksudnya. Cuba fahami maksudnya dengan membaca teks tersebut dengan teliti agar anda mendapat gambaran awal untuk mengalih bahasa teks seperti syair kepada bentuk prosa bahasa Melayu Moden.

2. Alih teks tersebut kepada bentuk prosa biasa (ayat penyata) iaitu dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul (baku) dalam bentuk prosa bahasa Melayu moden. Jangan terpengaruh oleh struktur bahasa Melayu klasik dan elakkan penggunaan struktur ayat pasif.

3. Tulis semua isi atau fakta yang terdapat dalam teks asal tersebut. Jika ada isi atau fakta yang tertinggal atau terpesong, sudah pasti anda akan memperoleh markah yang kurang. Pastikan isi atau fakta tersebut menepati isi teks yang asal.

4. Kekalkan penggunaan nama khas dan juga perkataan yang tidak perlu diubah seperti perkataan daripada bahasa istana.

5. Jangan buat ulasan atau memberikan pendapat semasa mengalih teks asal tersebut. Ingatlah bahawa bahawa anda cuma memindahkan bahasa teks tersebut sahaja, bukannya memberikan pendapat atau ulasan. Elakkan ayat yang berbentuk ulasan seperti ini, Petikan tersebut menerangkan...., kerana ayat tersebut dianggap sebagai ulasan.

6. Jangan salin keseluruhan teks asal kerana perkara itu tidak menunjukkan anda telah mengalih teks asal tersebut. Sekiranya anda melakukan perkara itu sudah pasti anda akan memperoleh markah yang minimum.

7. Tulislah ayat-ayat yang telah anda alihkan bahasanya itu dalam beberapa perenggan, mengikut kesesuaian kandungannya (biasanya tidak melebihi 3 perenggan).

8. Elakkan kesalahan bahasa yang lazimnya dilakukan oleh calon-calon STPM. Sekiranya calon melakukan kesalahan bahasa yang banyak, sudah tentu markah persembahan akan terjejas.

9. Selain markah bahasa, calon-calon juga perlu menitikberatkan aspek jalinan ayat yang telah dibina itu agar persembahannya menjadi lebih kemas, jelas dan mudah difahami oleh pemeriksa

Tuesday, May 5, 2009

Novel Perlumbaan Kedua

Novel Perlumbaan Kedua
Puncak cerita atau klimaks dalam sesebuah novel menjadi perhatian pembaca kerana pada peringkat ini cerita akan berakhir atau menghampiri peleraian. Dalam novel yang saya kaji, iaitu “Perlumbaan Kedua”, klimaksnya ialah apabila Tuk Kura berjaya menewaskan Sang Arnab Putih dan akhirnya Tuk Kura mendapat sanjungan.
Watak utama dalam novel ini juga beroleh kejayaan pada peringkat klimaks. Tuk Kura telah beroleh kejayaan walaupun pada hakikatnya dia berjalan dengan lebih lambat jika dibandingkan dengan Sang Arnab.
Pembaca juga akan berasa puas apabila membaca novel pada peringkat ini. Contohnya, pembaca berasa puas kerana Tuk Kura yang cerdik berjaya menewaskan Sang Arnab yang sombong.
Novel Perlumbaan Kedua
Watak utama dalam novel yang saya kaji, iaitu “Perlumbaan Kedua” watak ialah Tuk Kura. Salah satu nilai murni yang dimiliki Tuk Kura ialah bijaksana. Misalnya, Tuk Kura dengan bijaksana telah menggunakan cangkerangnya yang keras untuk melambungkan diri dari satu batu ke satu batu untuk memenangi perlumbaan dengan sang arnab putih.
Tuk Kura juga memiliki nilai murni gigih berusaha untuk berjaya. Misalnya, Tuk Kura berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan. Dengan kegigihannya itu, Tuk Kura akhirnya berjaya menewaskan Sang Arnab.
Selain itu, Tuk Kura memiliki nilai sabar dalam menghadapi sesuatu keadaan. Tuk Kura bersikap sabar ketika didera oleh suku-sakatnya sendiri. dia telah mengasingkan diri untuk mencari ketenangan.
Nilai lain yang dimiliki oleh Tuk Kura ialah berhemah semasa memberikan nasihat. Hal ini ditunjukkan apabila Tuk Kura menasihati cucu-cucunya agar hidup berdikari dan rajin menimba ilmu untuk mencapai kesejahteraan dalam hidup.

Kejohanan Ragbi Jemputan MRSM

Buat pertama kalinya Pasukan Ragbi KSAH dijemput untuk bertandingan dalam kejohanan ini yang melibatkan pasukan MRSM. Kejohanan ini akan diadakan pada 28 Jun 2009 hingga 1 Julai 2009 di MRSM Muar, johor.

Pasukan KSAH akan bersedia untuk membawa cabaran yang akan diketuai oleh Thoriq b Othman selaku kapten pasukan dan pasukan yang akan bertanding nanti akan diwakili oleh pemain-pemain senior dan pemain-pemain baru.

Bersama-sama kita nantikan cabaran Pasukan Ragbi KSAH di MRSM Muar Johor.

PASSION FOR RUGBY