Monday, July 19, 2010

Karangan Pelajar - Kertas 1 Bahagian A

KARANGAN BAHAGIAN A (30 MARKAH)
GEJALA SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA
Oleh : Kamaleshwaran.G (5 Omega)


“Berikan saya sepuluh remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia”, begitulah kata-kata Presiden Pertama Indonesia, Soekarno yang jelas memberikan gambaran peri pentingnya remaja dalam mengukir nama merentas merentas arus globalisasi dan modenisasi. Walau bagaimanapun, dalam meritis segala kemungkinan ibu pertiwi, modal insan yang tidak terhingga nilai ini kian merosot dari segi bilangannya. Hal ini kerana remaja negara kita kian terjerumus ke dalam gejala sosial. Oleh itu, kita sebagai khalifah Allah harus mengupas isu ini hingga ke akar umbi agar impian kerajaan melahirkan “pemuda harapan bangsa pemudi tiang negara” dapat direalisasikan. Namun, sebelum kita mengambil modus operandi yang dominan, pragmatik dan perdana, kita harus mengenali terlebih dahulu punca, ibarat kata peribahasa, “kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang”. Persoalannya kini, apakah kebobrokan sosial yang kian menular sehingga aset remaja kian terjerumus ke lembah hina?

Salah satu gejala sosial termasuklah gejala melepak. Senario yang kian berleluasa ini selalunya melibatkan golongan remaja dalam lingkungan 13 hingga 21 tahun. Selalunya, golongan remaja sentiasa melakukan perbuatan “bagai melepaskan batuk di atas tangga” pada alam persekolahan. Hal ini kerana pihak sekolah tidak menyediakan persekitaran yang kondusif untuk kalangan pelajar mereka menelaah pelajaran. Oleh itu, remaja yang hilang minat ke sekolah akan mencari alternatif yang mampu menarik minat mereka, misalnya, gejala melepak. Antara contoh tempat yang digunakan untuk melepak termasuklah kafe siber, kedai mamak, pusat beli belah dan kedai makan. Akibatnya, aset remaja nusa ini kian berkurang dan semakin kepupusan. Oleh itu, pihak sekolah, khususnya seyogia membanteras gejala ini. Guru dan badan pengawas dapat memantau gerak-geri remaja yang cuba ponteng sekolah. Natijahnya, gejala melepak wajarlah ditangani sebelum “nasi sudah menjadi bubur”.

Di samping itu, kancah dadah turut menyebabkan golongan remaja kian terjebak ke dalam kebobrokan hina. Statistik yang sahih lagi tepat menunjukkan peningkatan sebanyak 25% remaja yang terlibat dalam najis dadah berbanding tahun lepas, iaitu satu angka yang mengejutkan dan merunsingkan. Hal ini disebabkan oleh pengaruh rakan sebaya. Anasir rakan menyebabkan remaja terikut-ikut “bagai kerbau dicucuk di hidung” mengambil dadah. Hal ini kerana pada usia yang muda, jiwa remaja rapuh dan mudah terpersona dengan idola mereka. Sekiranya, idola mereka adalah rakan yang mangambil dadah, maka terikut-ikutlah remaja dengan kawannya itu. Oleh itu, ibu bapa wajar mangambil tindakan menasihati anak mereka sejak kecil lagi mencari rakan yang berpengaruh positif, persis kata mutiara “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Tamsilannya, “sudah terang lagi bersuluh” dadah haruslah dijauhi daripada anak dengan pengaruh ibu bapa.

Akhirnya, gejala buli turut mengakibatkan aset penting negara kita kian merosot. Gejala buli dalam kalangan remaja memang menular. Hal ini dapat dibuktikan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Antropologi dan Sosiologi menunjukkan sebanyak 30 peratus remaja terlibat dalam gejala buli. Remaja negara kita kian terikut-ikut dengan aksi menerusi media massa yang mentayangkan aksi negatif dan budaya kuning yang mempersonakan remaja. Aksi-aksi ini akan dipraktikkan oleh golongan remaja di sekolah. Oleh itu, kerajaan wajarlah mengadakan kempen-kempen kesedaran untuk menyedarkan masyarakat, terutamanya remaja yang hidup “bagai katak di bawah tempurung” tentang gejala buli. Misalnya, kempen “Hentikan Buli, Tak Nak!” yang baru dilancarkan oleh kerajaan perlu dihadiri oleh pelbagai pihak. Ironisnya, gejala buli haruslah ditangani.

Konklusinya, terdapat pelbagai jenis gejala sosial yang kian menular dalam kalangan remaja. Oleh itu, semua pihak haruslah bijak menggembleng tenaga “bagai aur dengan tebing” untuk mengekang kebobrokan ini dalam kalangan remaja negara kita agar impian kerajaan melahirkan modal insan berminda kelas pertama dapat dijadikan realiti, persis kata peribahasa, “menarik rambut dalam tepung, rambut tidak putus, tepung tidak berselerak”. Insya-Allah, aspirasi kerajaan untuk menjana modal insan yang mampu menjalankan tampuk pemerintahan negara. Ingat, “Lampu tidak bernyala dengan sendiri, Aladdin menggosoknya terlebih dahulu”. Sebagai tinta mengakhiri kata, hayatilah syair ini:

Tenaga pemuda kalau diasuh,
Pimpin dan didik kotor dibasuh,
Tidaklah ia menjadi lusuh,
Amat berguna menentang musuh.

Friday, July 16, 2010

JADUAL PERBANDINGAN



Sumber daripada : score A+

Dipetik daripada buku "Gerbang Masteri Bahasa Malaysia Tingkatan 5" terbitan Longman (Pearson Education Malaysia Sdn. Bhd.) Dapatkan buku ini di pasaran untuk memperoleh nota-nota ringkas dan padat serta latihan yang sesuai untuk latih tubi menjelang peperiksaan SPM.