Sunday, August 16, 2009

Ulang kaji Komponen Sastera (Cerpen) SPM 2009

Dengan berdasarkan analisis soalan komponen sastera yang telah dibuat oleh rakan guru Bahasa Melayu melalui blognya, iaitu Cikgu Mohd Zaki Hj. Awang Mat, terdapat 3 cerpen lagi yang belum pernah ditanya dalam peperiksaan SPM. Oleh itu, pelajar-pelajar hendaklah memfokuskan cerpen-cerpen tersebut semasa membuat ulang kaji komponen sastera SPM. Saya akan memaparkan ringkasan cerita ketiga-tiga cerpen tersebut kali ini untuk membantu pelajar supaya ingat akan ceritanya semula.

1. Cerpen Annyss Sophillea

Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Annyss Sophillea dari planet Alstonia yang hendak mencari kembarnya, iaitu Eyrique Etiqaz di bumi. Di bumi, dia bersahabat baik dengan Akmal. Setelah gagal mencari kembarnya, Annyss Sophillea kembali ke Alstonia. Dia bertemu dengan Strenn, iaitu sepupunya yang telah merampas kuasa kerajaan Alstonia. Sepatutnya Eyrique Etiqazlah yang mewarisi takhta kerajaan itu.Annyss Sophillea pula berasa yakin bahawa Strenn telah menyembunyikan kembarnya itu supaya dapat terus kekal berkuasa. Oleh itu, dia berusaha untuk mencari Eyrique Etiqaz. Pada masa itulah Akmal datang untuk memberikan bantuan kepada Annyss Sophillea. Akmal berjaya naik ke Alstonia dengan menunggang eustary. Annyss Sophillea memberitahu Akmal bahawa dia dipisahkan daripada kembarnya supaya mereka menjadi lemah, sebaliknya jika mereka bersatu, mereka akan menjadi sangat kuat.Akhirnya Annyss Sophillea dan Akmal berjaya menemui Eyrique Etiqaz di sebuah bilik kurungan di hujung terowong rahsia. Mereka pun mengeluarkan Eyrique Etiqaz dari bilik kurungan itu. Tenaga Eyrique Etiqaz pulih dalam masa yang singkat apabila dia menyentuh tanduk eustary.Pada masa itu juga, Strenn datang dan menyebabkan dia dan Eyrique Etiqaz beradu kekuatan. Masing-masing memiliki kesaktian untuk mengalahkan lawan masing-masing. Pada suatu peringkat, apabila melihat Eyrique Etiqaz hampir kalah, Akmal mengeluarkan pistol lalu menembak Strenn, namun demikian di Alstonia, sesiapa yang membunuh orang maka dia juga akan turut terbunuh. Oleh sebab itu, Akmal turut tumbang dan merasai kesakitan yang ditanggung oleh Strenn. Walau bagaimanapun, Annyss Sophillea dan Eyrique Etiqaz sempat meletakkan tangan mereka pada dada Akmal untuk menyelamatkan nyawa sahabat mereka dari bumi itu.Aspek komsas yang mungkin ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada perwatakan Daneng dan Cikgu Jo serta latar tempat dan latar masyarakatnya.


2. Cerpen Lambaian Malar Hijau

Ringkasan Cerita

Cerpen ini mengisahkan Daneng, anak orang Asli dari perkampungan di Lembah Tualang yang enggan meneruskan pelajaran walaupun mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). Daneng sudah meninggalkan sekolah berasrama itu selama enam bulan dan kembali ke tempat tinggalnya semula. Cikgu Jo yang tidak mudah berputus asa terus memujuk Daneng supaya meneruskan pelajarannya. Pada peringkat awalnya Daneng tetap berkeras dan tidak mahu menyambung pelajarannya kerana terlalu cinta akan kawasan hutan yang dianggapnya sebagai warisan nenek moyangnya.Cikgu Jo menasihati Daneng agar melanjutkan pelajaran, kerana dengan ilmu dan kedudukan yang baik, dia akan dapat menjaga hutan itu dengan lebih berkesan. Akhirnya hati Daneng menjadi lembut dan dia bersetuju untuk meneruskan pelajarannya.Dua puluh lima tahun kemudian, Daneng telah berjaya menerima Hadiah Nobel kerana usahanya memulihara, memelihara, dan menambah kawasan hutan di negara ini. Beliau telah dianugerahi gelaran ”Datuk” atas segala usahanya. Cikgu Jo berbangga dengan pencapaian pelajarnya itu. ”Datuk Daneng” sebagai orang yang tidak cepat lupa daratan, terus mengenang jasa Cikgu Jo yang amat besar itu.Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah gaya bahasa, perwatakan dan latar. Oleh itu fokuskan pada gaya bahasa, perwatakan watak utama dan latar tempat, di samping latar masyarakatnya.

3. Virus Zel Untuk Abah

Ringkasan Cerita

Zel ialah seorang gadis yang berusia 20 tahun dan mengalami tekanan perasaan akibat perceraian antara ibu dengan bapanya. Zel sebenarnya dahaga akan kasih sayang ayahnya, tambahan pula ibunya asyik sibuk dengan kerjanya iaitu menguruskan perniagaan komputernya. Zel kecewa kerana ayahnya tidak memahami perasaannya. Ibu Zel ialah seorang wanita yang berpelajaran dan berfikiran terbuka. Dia meminta Zel menerima hakikat bahawa ayah dan ibunya telah berpisah. Ibunya memberikan nasihat supaya Zel jangan menyimpan dendam terhadap ayahnya atau keluarga baru ayahnya. Walau bagaimanapun ibunya membenarkan Zel ke rumah ayahnya yang kini sudah berkahwin dengan Syarifah dan mempunyai tiga orang anak iaitu Awi, Aman, dan Arif.Di samping itu kawan Zel, iaitu Win menasihati Zel supaya jangan bertindak mengikut emosi. Hal ini demikian kerana, Zel sudah berusia 20 tahun dan bakal menjadi penuntut jurusan undang-undang di United Kingdom. Pada suatu hari, Zel mengikut abang tirinya, Awi untuk membeli hadiah sempena hari lahir ayah mereka. Mereka bertengkar ketika memilih warna yang menjadi kegemaran ayah mereka. Perasaan Zel semakin tertekan apabila Awi meminta Zel supaya jangan mengganggu ayahnya lagi.Dendam Zel terhadap ayah dan keluarga barunya membara semula. Dia ingin melepaskan virus Zel untuk memusnahkan Program ZQ 1308 yang sangat penting kepada keluarga ayahnya. Win sempat memujuk Zel supaya membatalkan niat buruknya itu. Akhirnya, Zel membatalkan niatnya untuk membalas dendam walaupun dia tetap berasa sakit hati.Aspek komsas yang mungkn ditanya dalam soalan ialah perwatakan dan nilai-nilai kemanusiaan. Oleh itu, fokuskan pada perwatakan watak utama dan nilai-nilai kemanusiaan serta pengajarannya.


Sumber: http://khirkassim.blogspot.com/2009/08/ulang-kaji-komponen-sastera-komsas-spm

Fokus Soalan Kertas Bahasa Melayu SPM 2009

Fokus Soalan Tatabahasa SPM 2009

3(a) Membina ayat daripada frasa
3(b) Soalan tentang cakap ajuk/pindah/ ayat aktif/pasif/susunan ayat
3(c) Kesalahan Ejaan dan Imbuhan
3(d) Kesalahan Kata/istilah dan Kesalahan Tatabahasa
3(e) Mengemukakan peribahasa yang sama maksud

Fokus Karangan SPM 2009

Isu/tema
1. Pendidikan –Pendidikan maya/sepanjang hayat
2. Pengangkutan awam
3. Pelaburan/Aktiviti menabung/Skim Cepat Kaya
4. Pelancongan
5. Memulihara bangunan bersejarah
6. Perpaduan Antara Kaum
7. Gejala Rasuah8. Permainan Tradisional
9. Pemanasan Global
10. Barang Buatan Malaysia
11. Telefon Bimbit
12. Kafe Siber
13. Bahasa – Melayu/Inggeris/Asing
14. Gejala sosial
15. Krisis Ekonomi Dunia
16. Kenaikan harga minyak/barang
17. Amalan Membaca-kebaikan/punca/langkah
18. Pengalaman/program yang pernah disertai
19. Kemalangan Jalan Raya-punca/langkah
20. Kokurikulum-kebaikan/punca/langkah
21. Semangat patriotik
22. Bahan Sastera (KOMSAS)2
3. Ulasan filem/novel/cerpen24. Guru/ibu bapa - peranan

Fokus Soalan Pemahaman KOMSAS SPM 2009

Pemahaman Prosa Moden
Cerpen Tg. 4
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau

Cerpen Tg. 5
1. Virus Zel Untuk Abah

Drama Tg. 4
1. Serunai Malam

Pemahaman Prosa Tradisional:

Tg. 41. Cerita Bayan
2. Sikap terburu-buru Membawa Padah

Tg. 51. Sabor
2. Kepahlawanan Tun Beraim Bapa

Pemahaman Puisi
Tg. 4
1. Pantun Kiasan
2. Seloka Pak Kaduk

Tg. 5
1. Pantun 6 Kerat
2. Syair Kelebihan Ilmu

Sajak
Tg. 4
1. Anak Laut
2. Derita Pertama
3. Jalan-jalan raya kotaku

Sajak Tg. 5
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya

Fokus Soalan Novel SPM 2009

1. Kritikan masyarakat
2. Perbandingan antara watak utama
3. Cabaran yang dihadapi oleh watak utama
4. Peranan watak5. Binaan Plot-5P
6. Teknik Plot
7. Jenis watak
8. Keistimewaan watak
9. Unsur suspens
10. Cara pengarang menggambarkan watak
11. Cara pengarang menggarap nilai

Oleh Cikgu Ghalib

Tuesday, August 11, 2009

Soalan Percubaan BM 2009


Soalan Percubaan SPM 2009

Sumber daripada :

Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 5

1. Rumah Terbuka Rakyat Malaysia (Buku Teks m/s 1)

Soalan Contoh
Sewaktu sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu, anda telah berkesempatan untuk mengunjungi rumah terbuka yang dianjurkan oleh kerajaan Malaysia.
Huraikan kebaikan dan keburukan rumah terbuka itu.

2. Pendidikan Alaf Ini (Buku Teks m.s. 23)
Soalan Contoh
Dalam era globalisasi ini, penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang akan menentukan kejayaan seseorang itu.
Huraikan kepentingan ilmu dalam era globalisasi yang semakin mencabar pada masa ini.

3. Pengangkutan Alaf Ini (Buku Teks m.s. 48)
Soalan Contoh
Masyarakat hari ini digalakkan untuk menggunakan pengangkutan awam kerana banyak kelebihannya.
Huraikan kelebihan-kelebihan pengangkutan awam kepada masyarakat di negara kita.

4. Bandar Pintar Malaysia (Buku Teks m.s. 75)
Soalan Contoh
Seseorang pembeli rumah akan membuat pertimbangan tertentu sebelum membuat keputusan untuk membelinya.
Jelaskan faktor-faktor yang mempengaruhi seseorang pembeli rumah apabila membuat keputusan untuk membeli sesebuah rumah itu.

5. Alam Pekerjaan (Buku Teks m.s. 101)
Soalan Contoh
Perubahan yang berlaku dalam era globalisasi turut mengubah kerjaya seseorang pada masa depan.
Jelaskan ciri-ciri kerjaya yang akan menjadi budaya pada masa depan.

6. Pendidikan Industri (Buku Teks m.s. 126)
Soalan Contoh
Pendidikan tentang industri memainkan peranan penting dalam era perindustrian masa kini.
Sejauh manakah pendidikan industri ini penting kepada negara?

7. Biolembangan (Buku Teks m.s. 147)
Soalan Contoh
Sektor pertanian perlu dimajukan untuk menjamin keperluan makanan bagi penduduk di negara kita.
Jelaskan usaha-usaha untuk memajukan sektor pertanian di negara kita.

8. Pelaburan (Buku Teks m.s. 167)
Soalan Contoh
Negara-negara yang sedang membangun sangat bergantung pada pelaburan asing untuk membangunkan ekonominya.
Huraikan faktor-faktor yang mempengaruhi kemasukan pelaburan asing di sesebuah negara.

9. Teleperubatan (Buku Teks m.s. 187)
Soalan Contoh
Pada masa ini, penyakit kanser merupakan penyakit berbahaya yang digeruni oleh segenap lapisan masyarakat kerana menjadi pembunuh secara senyap.
Huraikan punca-puncanya dan langkah-langkah untuk menanganinya.

10. Sukan Seantero Dunia (Buku Teks m.s. 210)
Soalan Contoh
Negara kita telah berjaya menjadi penganjur beberapa kejohanan sukan pada peringkat antarabangsa dalam jangka masa beberapa tahun ini.
Bagaimanakah penganjuran sukan tersebut berupaya untuk memberikan manfaat kepada negara kita?

11. Komunikasi Global (Buku Teks m.s. 230)
Soalan Contoh
Kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi melalui penggunaan Internet mendatangkan kebaikan dan keburukan kepada manusia.
Bincangkan pernyataan tersebut.

12. Pelestarian Budaya Warisan (Buku Teks m.s. 249)
Soalan Contoh
Ada pendapat yang mengatakan bahawa sesetengah adat resam sesuatu kaum itu tidak patut diamalkan lagi pada masa ini.
Berikan komen anda tentang pernyataan tersebut.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Latihan Karangan Berdasarkan Topik dalam Buku Teks Bahasa Melayu Tingkatan 4

1. Senario Masyarakat Kita (Buku Teks m.s. 1)
Soalan Contoh
Masyarakat berbilang kaum yang tinggal di negara kita hidup dalam keadaan aman dan harmoni.
Berikan pendapat anda tentang usaha-usaha untuk mengekalkan keadaan tersebut.

2. Ambang Remaja (Buku Teks m.s. 23)
Soalan Contoh
Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan yang penting untuk membangunkan negara ini.
Ulas pernyataan di atas.

3. Dunia Semakin Canggih (Buku Teks m.s. 50)
Soalan Contoh
Penggunaan kad kredit dalam kalangan masyarakat pada masa ini semakin meluas kerana banyak memberikan kemudahan kepada penggunanya.
Huraikan implikasi penggunaan kad kredit kepada masyarakat.

4. Keranamu Malaysia (Buku Teks m.s. 75)
Soalan Contoh
Banyak kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia telah membuktikan bahawa negara kita juga setanding dengan negara maju yang lain.
Huraikan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh rakyat Malaysia pada peringkat antarabangsa.

5. Melestarikan Alam Sekitar (Buku Teks m.s. 100)
Soalan Contoh
Pelbagai usaha telah diambil oleh pihak kerajaan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengatasi masalah pencemaran alam namun masih kurang berkesan untuk mengatasinya.
Jelaskan pendapat anda tentang pernyataan tersebut.

6. Riadah (Buku Teks m.s. 127)
Soalan Contoh
Aktiviti memancing ikan semakin diminati oleh sesetengah anggota masyarakat pada masa ini.
Huraikan faedah-faedah yang diperoleh daripada aktiviti terebut.

7. Generasi Kita (Buku Teks m.s. 156)
Soalan Contoh
Remaja pada hari ini perlu diberikan pendidikan yang sempurna kerana mereka merupakan generasi yang akan memimpin negara pada masa depan.
Ulas pernyataan di atas.

8. Gaya Hidup Sihat (Buku Teks m.s. 180)
Soalan Contoh
Sebagai seorang wartawan majalah terkemuka di negara ini, anda dikehendaki menulis rencana yang bertajuk “Budaya Makanan Segera dalam Kalangan Masyarakat ”.
Tulis rencana itu selengkapnya.

9. Kerjaya (Buku Teks m.s. 203)
Soalan Contoh
Anda berminat untuk menulis rencana tentang masalah mahasiswa yang menganggur dan hanya berminat untuk bekerja makan gaji selepas menamatkan pengajian.
Tulis rencana tersebut selengkapnya.

10. Warisan Bangsa (Buku Teks m.s. 223)
Soalan Contoh
Bangunan bersejarah tinggalan penjajah pada zaman penjajahan perlu dikekalkan kerana mempunyai nilai warisan yang tinggi.
Jelaskan kelebihan-kelebihan bangunan bersejarah tersebut.

11. Industri Pelancongan Malaysia (Buku Teks m.s. 249)
Soalan Contoh
Industri pelancongan di negara kita merupakan antara penyumbang utama dalam bidang ekonomi dan hal ini penting untuk memajukan negara.
Huraikan sumbangan-sumbangan industri pelancongan terhadap kemajuan negara.

Oleh Cikgu Mohd Khir Kassim

Tuesday, August 4, 2009

Tips Menulis Gred A – Ungkapan Menarik

Kenapakah saya memaparkan perenggan-perenggan di bawah ? Sebabnya, salah satu kaedah penting bagi membaiki kualiti karangan ialah membaca esei yang baik, dan seterusnya, mengutip ilmu penulisan iaitu kaedah penulis berbahasa dan mengolah ayat. Lihat dan tiru kaedah yang digunakan serta berlatih mengaplikasikannya.

Semua perenggan atau ayat di bawah dipilih kerana keberkesanannya kepada pembaca dan mesej disampaikan dengan menarik. Apabila membaca akhbar dan majalah, kenal pasti ungkapan menarik dan manfaatkannya.

KEFASIHAN pemuda Australia itu berbahasa Melayu cukup menakjubkan apatah lagi mendengar kepetahan beliau berbicara menggunakan dialek pantai timur. Apabila bertemu empat mata dengan jejaka ini, terasa malu berbaur bangga. Malu kerana orang luar lebih sayang akan bahasa kebangsaan kita tetapi bangga kerana beliau berjaya menguasainya dalam tempoh yang singkat.

BAGAIMANAKAH wajah Kuala Lumpur 100 tahun lalu? Siapakah yang membuka dan menyemarakkan kota itu pada akhir abad ke-19? Dalam hal ini, kita tidak boleh menyisihkan sumbangan Haji Abdullah Hukum, pedagang yang menyuntik pertumbuhan ekonomi Kuala Lumpur pada 1850-an.

TIDAK ramai yang mahu menerima fakta bahawa membaca buku itu boleh membina minda berilmu, saling tidak tumpah seperti peranan makanan berkhasiat untuk menghasilkan badan yang sihat.

PENGARUH permainan video terhadap psikologi kanak-kanak menyebabkan golongan itu membesar sebagai insan yang ganas sekali gus mendorong pelbagai perlakuan agresif. Menurut pakar psikiatri, Dr Mohamad Hussain, dari aspek psikologi kanak-kanak yang bermain permainan video ganas, bukan saja berimaginasi malah menghayati babak pembunuhan itu kerana mereka bertindak selaku watak utama dalam permainan, seterusnya perlakuan ganas dalam permainan video akan terbawa-bawa ke alam realiti.

PEPATAH Cina ada menyatakan bahawa yang menggerakkan tubuh badan bukanlah kaki tetapi sebenarnya minda dan fikiran. Oleh itu, minda kita keseluruhannya perlu dipacu dengan ilmu pengetahuan, serta wajar diasah dan diasuh agar berfikir mencipta kegemilangan.

PEMIKIR tersohor, Descartes menekankan bahawa membaca buku bermutu itu ibarat ‘berdialog’ dengan orang-orang hebat atau pemikir-pemikir besar. Bahkan, buku dapat mempertemukan dan menghubungkan dunia masa silam dengan dunia pembaca masa kini. Betapa hebatnya pengaruh buku itu, sehinggakan Voltaire menegaskan buku mampu membakar semangat sesuatu bangsa dan mengubah dunia.

APA gunanya kita mempunyai kemudahan yang canggih tetapi rakyat kita tidak mampu menggunakannya kerana mereka tidak celik minda dan tidak mempunyai pengetahuan. Hal ini boleh diumpamakan sebuah negara yang subur dan mempunyai banyak hasil bumi seperti emas, perak dan permata, tetapi semua itu akan menjadi sia-sia, sekiranya tenaga manusianya tidak berkualiti, tidak berpengetahuan dan tidak mampu menguasai teknologi.

Dari blog-mindabahasa

Mengubah Ayat Aktif menjadi Ayat Pasif

Sering kali, pelajar melakukan kesilapan apabila menukar ayat aktif transitif kepada ayat pasif apabila melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua.

Antara ganti nama diri pertama ialah saya, hamba, aku, kami dan kita manakala ganti nama diri kedua ialah awak, engkau, kamu, anda, dan tuan.

Dalam ayat pasif melibatkan ganti nama diri pertama dan kedua, perlu diingat bahawa:

1. Tidak boleh menggunakan kata “oleh”,
2. Kata bantu seperti akan, sedang dsb. mesti hadir sebelum ganti nama diri.
3. Ganti nama diri :
contohnya, saya, anda mesti diikuti oleh kata kerja : contohnya, tulis, baca , sepak.
4. Kata kerja mestilah menjadi kata dasar seperti tulis bukannya menulis, baca bukannya membaca.

Contoh 1

Ayat Aktif Transitif :
Saya akan menulis rencana tentang isu vandalisme.Ayat Pasif : Rencana tentang isu vandalisme akan saya tulis.

Contoh 2

Ayat Aktif Transitif :
Anda telah menutup botol itu.Ayat Pasif : Botol itu telah anda tutup.

Cuba anda tukarkan ayat aktif transitif di bawah dan seterusnya betulkan contoh-contoh ayat pasif yang diberikan.

Sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan, awak telah memanggil Amran ke dalam kelas.

Amran telah dipanggil oleh awak ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana oleh diikuti oleh ganti nama diri pertama atau kedua).

Amran, awak telah panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.
(Ayat pasif ini salah kerana ganti nama diri pertama/kedua mestilah diikuti oleh kata kerja).

Yang betul ialah :
Amran telah awak panggil ke dalam kelas sebaik sahaja loceng sekolah dibunyikan.

Dari blog — mindabahasa

Contoh Karangan Pelajar : Isu Pengangkutan Awam

Rangkaian pengangkutan awam di negara kita meliputi pengangkutan bas, teksi, Sistem Transit Tren Ringan (LRT) dan monorel. Memang sudah ada banyak usaha yang dilakukan untuk menyatukan semua perkhidmatan ini tetapi kejayaannya masih jauh lagi. Oleh itu, pelbagai kemelut yang melanda sistem pengangkutan awam negara kita harus difahami untuk menangani masalah yang sudah berlanjutan agak lama ini.

Sudah pasti dilema utama yang dihadapi oleh masyarakat terhadap sistem pengangkutan awam kita ialah harganya yang mahal. Kadar tambang terutama teksi dan LRT dianggap oleh masyarakat sebagai agak mahal untuk mereka gunakan dengan kerap sistem pengangkutan itu. Kadaan ini menyebabkan jumlah pengguna pengangkutan awam terutama LRT agak kurang dan tidak menyeluruh seperti mereka hanya menggunakan pengangkutan awam hanya untuk ke pejabat sahaja. Jadi, kemelut utama ini harus diselesaikan oleh kerajaan jika mereka mahu melihat rakyat negara ini berduyun-duyun menggunakan LRT.

Selain itu, kemelut pengangkutan awam ini turut dikaitkan sistem pengangkutan awam yang tidak cekap. Masyarakat menganggap sistem pengangkutan awam terutama bas tidak boleh diharap terutama jadual perjalanannya yang menyebabkan masyarakat sukar untuk merancang dan menjangka tempoh perjalanan yang bakal mereka hadapi. Masalah penjagaan bas, LRT dan teksi turut dikatakan termasuk dalam kategori ini kerana penyelenggaraan yang tidak menyeluruh. Oleh itu, masyarakat bukan sahaja menyampah melihat kegagalan pengangkutan awam mematuhi jadualnya tetapi juga kegagalan mereka untuk menjaga tahap kualiti perkhidmatan pengangkutan awam mereka.

Kalau anda sering menggunakan pengangkutan awam sudah pasti anda akan menghadapi masalah untuk menukar sistem pengangkutan. Contohnya, antara monorel dengan LRT atau antara bas dengan monorel. Keadaan ini menyebabkan penjalanan penumpang terganggu kerana terpaksa beratur untuk membeli tiket sebelum menaiki pengangkutan awam yang lain pula.

Dalam era globalisasi yang mengutamakan kepantasan, sudah pasti keadaan ini dianggap merumitkan kehidupan masyarakat. Maka, satu sistem tiket yang bersepadu harus dihasilkan oleh kerajaan dengan segera sebelum kemelut ini menjadi semakin rumit untuk diselesaikan.

Malah, pengangkutan awam turut terjejas akibat tindakan segelintir pekerja mereka seperti pemandu teksi dan pemandu bas yang tidak sopan ketika memandu. Sering kali masyarakat mengadu kerakusan pemandu pengangkutan awam di jalan raya yang dibuktikan oleh meningkatkan kemalangan yang melibatkan pengangkutan awam ini. Sikap tidak prihatin mereka ini telah memberi satu imej negatif kepada semua pekerja yang bekerja dalam sistem pengangkutan awam negara. Sesungguhnya, semua pekerja pengangkutan awam harus diberi satu kursus untuk memastikan mereka lebih mesra pelanggan dan bukannya dibenci oleh pelanggan.

Kesimpulannya, masalah pengangkutan awam ini memang banyak tetapi rumit untuk diselesaikan. Ketika masyarakat semakin gusar dengan mutu perkhidmatan pengangkutan awam, pihak kerajaan harus membuat tindakan drastik menangani isu ini. Mungkin sudah sampai masanya kerajaan bertindak tegas bagi mengatasi kemelut ini.

Dari blog Minda Bahasa

Sunday, August 2, 2009

Ayat – Didoakan?

Soalan:

Bagaimanakah ayat yang di bawah ini?

Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang.
Adakah menyalahi rumus transformasi?

Drp:Cikgu NNA

Jawaban:
Ayat "Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang." salah kerana ayat itu tidak lengkap dari subjek dan predikatnya.Untuk mengetahui ayat asalnya, sila gunakan teknik transformasi.

1. Saya mendoakan (apa) semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Aktif)
2. (apa) didoakan oleh saya semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Ayat Pasif Diri Pertama yang tidak gramatis)
3. Mereka mendoakan (apa) semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Aktif)
4. (apa) didoakan oleh mereka semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Ayat Pasif Diri ketiga yang tidak gramatis)

Dengan berdasarkan proses transformasi di atas, terbukti bahawa ayat "Didoakan semoga anda berjaya dengan cemerlang." tidak tepat.Ayat yang membawa maksud seperti yang ingin disampaikan, kemungkinannya adalah seperti yang berikut:

Contoh:
1.Saya mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda. (aktif)
2. Kejayaan yang cemerlang untuk anda saya doakan. (pasif)

Cuba lihat ayat di atas tadi: Apakah ayat aktifnya? Sudah tentu tiada. Hal ini demikian kerana ayat tersebut tiada subjek.
Didoakan (Predikat Frasa Kerja)
Semoga anda berjaya dengan cemerlang. (Klausa keterangan harapan) (Klausa ini boleh digugurkan)
Jika klausa keterangan harapan tersebut boleh digugurkan, bahagian yang tinggal ialah ”Didoakan”. Adakah frasa ”didoakan” itu merupakan ayat yang lengkap?
Oleh hal yang demikian, ayat tersebut tidak gramatis.

Ayat yang betul ialah:
3. Saya/kami/mereka berdoa agar anda berjaya dengan cemerlang. atau
4. Didoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.
5. Kami mendoakan kejayaan yang cemerlang untuk anda.

Drp:Cikgu Ghalib

Rumus PTKS dalam Bahasa Melayu

Dalam bahasa Melayu, terdapat satu rumus yang dikenali sebagai rumus PTKS. Dengan berdasarkan rumus ini, huruf pertama sesuatu perkataan yang bermula dengan p,t,k atau s akan bertukar bentuk apabila diimbuhkan dengan awalan me-.. Proses yang berlaku ini dikenali sebagai transformasi tukar bentuk imbuhan.

Lihat proses tukar bentuk imbuhan di bawah ini:

Me + p -->me + pukul --> memukul (bukan mempukul)
Me + t --> me + tangkap --> menangkap (bukan mentangkap)
Me + k --> me + kawal -> mengawal (bukan mengkawal)Me + s --> me + suruh --> menyuruh (bukan mensuruh)

Namun demikian, rumus yang dikemukakan oleh panel penulis Tatabahasa Dewan ini sukar dipertahankan kerana terdapat banyak perkataan yang tidak menepati rumus ini. Perkataan yang tidak mematuhi rumus ini dianggap sebagai satu kekecualian. Beberapa perkataan yang dikecualikan daripada rumus ini termasuklah menternak (sepatutnya menernak), memperkasakan (sepatutnya memerkasakan), dan sebagainya.

Latihan
Arahan: Nyatakan betul (_/) atau salah (x) atau dikecualikan (dk) bagi setiap perkataan yang di bawah ini

1. Menternak [ ]
2. Menernak [ ]
3.Menelaah [ ]
4.Mentelaah [ ]
5.mempengerusikan [ ]
6.memengerusikan. [ ]
7.memercayai [ ]
8.mempercayai [ ]
9.memercikkan [ ]
10.mempercikkan [ ]
11.memerkarakan [ ]
12.memperkarakan [ ]
13.memerlahankan [ ]
14.memperlahankan [ ]
15.memperlukan [ ]
16.memerlukan [ ]
17.memerli [ ]
18.memperli [ ]
19.memelawa [ ]
20.mempelawa [ ]
21.Memorak-perandakan [ ]
22.memporak-perandakan [ ]
23.Mensenyawakan [ ]
24.menyenyawakan [ ]
25.Mempunyai [ ]
26.memunyai [ ]
27.menenteramkan [ ]
28.menenteramkan [ ]
29.mengetengahkan [ ]
30. mengenengahkan [ ]
31. mengetepikan [ ]
32. mengenepikan [ ]
33.mengucar-ngacirkan [ ]
34.mengkucar-kacirkan [ ]
35.menyasarkan [ ]
36. mensasarkan [ ]
37.mempastikan [ ]
38.memastikan [ ]
39.memelopori [ ]
40. mempelopori [ ]

Dari blog Cikgu Ghalib b Yunus

Pasangan apitan me---kan/me—I

Rumus:
me-…-kan ---Objek Bergerak,
me-….-I –Objek Tidak Bergerak

Huraian:

Apitan men-…-kan dan men-…-I yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya diikuti oleh objek bergerak dan objek tidak bergerak. Dalam situasi ini, apitan men-…kan diikuti oleh objek bergerak, manakala apitan men-…-I diikuti oleh objek yang tidak bergerak.

Contoh:
Dia menghadiahkan sehelai kain batik kepada ibu. (Kain batik bergerak).
Dia menghadiahi ibu sehelai kain batik. (Ibu tidak bergerak)

Latihan :

Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]

(1) Nenek membekalkan Najwa pisang goreng. [ ]
(2) Nenek membekali pisang goreng kepada Najwa.[ ]
(3) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman mati. [ ]
(4) Hakim menjatuhkan hukuman mati kepada pesalah itu. [ ]
(5) Guru menghadiahkan Salima sebuah buku rujukan. [ ]
(6) Guru menghadiahi sebuah buku rujukan kepada Salima. [ ]
(7) Cikgu Zamilah mengajarkan kami mata pelajaran Matematik. [ ]
(8) Cikgu Zamilah mengajar mata pelajaran Matematik kepada kami. [ ]
(9) Saya memberi anak-anak yatim wang sebanyak RM5.00. [ ]
(10) Saya memberikan wang kepada anak-anak yatim sebanyak RM 5.00. [ ]

Dari blog cikgu Abd Ghakib b Yunus
(Dipetik daripada Buku Esensi Bahasa Malaysia PMR2009 terbitan Pearson-Longman Malaysia Sdn. Bhd)

Panduan mengira perkataan

Terdapat banyak pelajar yang keliru tentang pengiraan bilangan perkataan dalam karangan, rumusan atau ringkasan. Jadi, saya mngambil kesempatan ini untuk menjelaskan perkara tersebut supaya semua pelajar memahami cara untuk menentukan sesuatu perkataan itu sama ada satu atau dua patah perkataan, dan sebagainya. Sebenarnya, pengiraan bilangan perkataan ini terdapat sedikit perbezaan dengan peperiksaan yang lain. Namun, bagi peperiksaan PMR dan SPM, pengiraan jumlah perkataan adalah sama.

Perkataan yang dikira sebagai satu patah perkataan adalah seperti yang berikut:
1. Nama khas. Contoh: Selangor Darul Ehsan
2. Perkataan berganda. Contoh: Tolong-menolong, rumah-rumah
3. Kata depan di dan ke. Contoh: Di sana, di samping, di Johor
4. Tarikh: Contoh: 12 Januari 2009
5. Angka yang ditulis dengan nombor atau perkataan: Contoh: Seribu lima ratus enam puluh (1,560)
6. Gelaran: Contoh: Datuk Seri, Yang Amat Berhormat

Kekeliruan yang timbul ialah bilangan patah perkataan untuk penanda wacana. Untuk pengetahuan pelajar atau calon PMR dan SPM, penanda wacana tidak dikira sebagai satu perkataan.
Sebagai contohnya:
`selain itu’ dikira sebagai dua patah perkataan.
`di samping itu’ – dua patah perkataan
`bukan itu sahaja’ – tiga patah perkataan
`oleh hal yang demikian’ – empat patah perkataan.

Dengan penjelasan ini, saya berharap agar semua pelajar atau calon PMR dan SPM 2009 tidak akan mengalami kekeliruan tentang jumlah perkataan dalam karangan, rumusan atau ringkasan.

Dari blog cikgu Aabdul Ghalib b Yunus

Pasangan apitan di---kan dan awalan di- ….

Rumus:
Subjek Bernyawa--> di---kan
Subjek Tak Bernyawa--> di-…

Huraian:

Apitan di----kan dan awalan di- yang berpasangan dalam ayat yang mempunyai dua objek kebanyakannya mempunyai subjek bernyawa dan subjek tidak bernyawa. Dalam situasi ini, subjek bernyawa hendaklah diikuti oleh apitan di-…-kan dan subjek tidak bernyawa hendaklah diikuti perkataan berawalan di-… .

Contoh:

1. Adik dijahitkan oleh ibu sehelai baju kurung. (Adik ialah subjek yang bernyawa).
2. Sehelai baju kurung dijahit oleh ibu untuk adik. (Baju kurung ialah subjek yang tidak bernyawa)

Latihan
Nyatakan ayat-ayat di bawah ini sama ada betul [ / ] atau salah [ x ]

(1) Secawan kopi dibuatkan oleh kakak untuk ayah. [ ]
(2) Ayah dibuat oleh kakak secawan kopi. [ ]
(3) Ayah dimasakkan oleh ibu sup kambing. [ ]
(4) Sup kambing dimasak oleh ibu untuk ayah. [ ]
(5) Saya diambilkan oleh pelayan itu makanan. [ ]
(6) Makanan diambil oleh pelayan itu untuk saya. [ ]
(7) Sepucuk surat dituliskan oleh Reza untuk neneknya. [ ]
(8) Nenek ditulis oleh Reza sepucuk surat.[ ]
(9) Kami akan dibelikan oleh mereka cenderamata. [ ]
(10) Cenderamata akan dibeli oleh mereka untuk kami. [ ]